ROSBERG (kiri) bergambar bersama peminat di KLCC.
ROSBERG (kiri) bergambar bersama peminat di KLCC.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: “Saya faham kedudukan Lewis (Hamilton).” Demikian pandangan juara Formula Satu (F1) dunia Nico Rosberg mengulas tindakan Hamilton memperlahankan jenteranya ketika memimpin saingan pada pusingan terakhir di Abu Dhabi, Ahad lalu dalam usaha untuk menafikan Rosberg meraih kejuaraan dunia.

Jelas Rosberg, sebagai pesaing terdekat untuk memburu kejuaraan dunia, sudah tentu rakan sepasukannya dari Mercedes AMG PETRONAS itu akan melakukan apa saja.

“Dalam kes saya, saya mengikut peraturan ditentukan pasukan dan perkara ini sudah berlaku sejak tiga tahun lalu.

“Pada masa sama saya faham kedudukan Hamilton. Kami pemandu dan pejuang kerana ia adalah berkaitan untuk merebut kejuaraan dunia.

“Dia akan cuba melakukan apa saja. Saya fikir perkara ini tidak perlu dibincangkan lagi,” katanya ketika sesi bertemu media Malaysia semalam.

Rosberg berkata, saingan musim depan membabitkan dirinya serta Hamilton pasti akan lebih menarik.

“Kami sudah berkawan sejak usia 13 tahun dan kemudian tiga tahun kami menjadi pencabar utama,” katanya.

Sementara itu, prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff berkata, kemenangan ketiga berturut-turut pasukan itu dalam kategori pemandu dan pengeluar adalah sesuatu yang hebat.

“Apabila kami sudah ada dua juara dunia, ia lebih mudah,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan memberi komen sama ada Hamilton akan dikenakan tindakan disiplin kerana mengingkari arahan pasukan supaya memecut dan bukannya memperlahankan jentera di Abu Dhabi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 8:28 AM