AINOR (lapan dari kiri) bersama Ahmad Lokman (enam dari kiri) bersama peserta  pertandingan.
AINOR (lapan dari kiri) bersama Ahmad Lokman (enam dari kiri) bersama peserta pertandingan.
Pizan Mustapa


Kuala Lumpur: Bagi menghargai peranan media, Malakoff Corporation Berhad tampil dengan idea menganjurkan pertandingan bowling persahabatan bersama media Kumpulan NSTP.

Kejohanan itu berlangsung di U-Bowl, One Utama, baru-baru ini dan membabitkan akhbar New Straits Times (NST), Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM) selain kakitangan Malakoff membentuk 10 kumpulan campuran.

Pertandingan bertujuan merapatkan hubungan antara petugas media dan kakitangan Malakoff itu dirasmikan Naib Presiden Perkhidmatan Perundangan Malakoff Ainor Khaliq Anuarudin yang membuat balingan pertama sebagai simbolik perasmian.

Pengurus Perhubungan Korporat dan Pengurusan Pihak Berkepentingan Malakoff Aini Zahariah berkata, selain menghargai peranan dan kerjasama media, pertandingan itu juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin.

“Pertandingan ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara Malakoff dengan media Kumpulan NSTP dan melaluinya, kita dapat menggalakkan budaya hidup sihat.

“Kami turut membuat perancangan untuk terus menganjurkan pelbagai program bersama media termasuk dalam acara sukan dan rekreasi lain sebagai tanda penghargaan kami terhadap semua media di sini,” katanya.

Hadir sama dan turut mengambil bahagian, Ketua Perhubungan Korporat dan Pengurusan Pihak Berkepentingan Yusop Abdul Rashid dan Pengurus Kanan, Perhubungan Korporat dan Pengurusan Pihak Berkepentingan Md Yuha Ismail.

Akhbar NST, BH dan HM diketuai Pengarang Bersekutu, Business, Op-Ed & CBT Ahmad Lokman Mansor, Pengarang Ekonomi Mutazar Abd Ghani dan wartawan Mohamad Hussin.

Pada pertandingan itu, Kumpulan 2 diwakili Mohamad Hussin, Zolkifli Hamzah, Ismail Razak dan Ainor Khaliq muncul juara selepas melakukan 939 jatuhan pin diikuti Kumpulan 5, Saufi Hamzah, Lizam Ridzuan, Ricky Yap serta Nik Armizam (925 jatuhan pin).

Tempat ketiga dimenangi Kumpulan 3 diwakili Rozdan Mazalan, Khairi Khalid, Francis Dass dan Md Yuha Ismail (859 jatuhan pin).

Bagi acara individu, Mohamad Akmal dari Malakoff muncul juara dengan 308 jatuhan pin diikuti Zolkifli Hamzah (287), Ricky Yap (276), Pizan Mustapa (272), Saufi Hamzah (267), Rozdan Mazalan (239), Mutazar Abd Ghani (235), Juli Mohamad (233), Azman Hazim (231) dan Ridzuan Yop (229).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 7:58 AM