Aizat Sharif

Sintok: Seramai 385 penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatatkan sejarah dalam 'Malaysia Book of Records' apabila menghasilkan cucur peneram selama 48 jam tanpa henti.

Peserta terdiri darpada penuntut tempatan dan antarabangsa daripada Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar (STHEM) di UUM di sini.

Menurut Dekan STHEM, Profesor Madya Dr Basri Rashid, inisiatif untuk mencatatkan rekod berkenaan adalah rentetan kejayaan sama yang dihasilkan oleh STHEM pada 2012 apabila menghasilkan roti jala tanpa henti selama 72 jam.

"Sempena usaha kerajaan negeri mempromosi pelancongan'Discover Kedah 2016', kita turut mengambil peluang ini untuk mempromosikan makanan tradisional Kedah supaya masyarakat di luar negeri berkenaan dapat mengetahui mengenai kuih tradisi yang terdapat di negeri ini.

"Selain itu juga, kita mahu menjalin kerjasama dengan pihak industri dalam memperkenalkan UUM sebagai hab pendidikan pilihan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas Program ‘Malaysia Book of Records: Penghasilan Cucur Peneram Selama 48 Jam Tanpa Henti 2016’ di pusat pengajian berkenaan, hari ini.

Beliau berkata, pemilihan kuih cucur peneram dibuat kerana kuih berkenaan sangat popular di kalangan masyarakat di negeri ini.

"Pada peringkat awal program ini, kita ada menyenaraikan beberapa jenis kuih tradisi negeri Kedah yang boleh kita hasilkan dalam program ini seperti Kuih Karas dan Kuih Dangai.

"Memang ia boleh dibuat tetapi prosesnya agak rumit dan lama dan kita akhirnya bersepakat untuk memilih kuih Cucur Peneram ini kerana proses penghasilannya agak sederhana dan lebih dikenali ramai serta kebersihannya juga dapat dijaga," katanya lagi.

Proses penghasilan kuih Cucur Peneram itu bermula pada 3 petang Isnin lalu dan berakhir 3 petang tadi.

Penuntut terbabit termasuk dari China dan Bangladesh pula bergilir-gilir menghasilkan kuih berkenaan mengikut jadual bertugas yang disediakan.

Setiap peserta bertugas selama 30 minit hingga satu jam sebelum bertukar dengan penuntut lain sepanjang waktu berkenaan tanpa henti.

Sehingga tamat waktu yang disasarkan, 9,500 biji kuih Cucur Peneram dihasilkan menggunakan 50 kilogram (kg ) tepung, 7.5 kg gula, 30 kg gula merah dan 17 liter air yang dimasak menggunakan dua dapur yang disediakan pusat pengajian itu.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Profesor Madya Dr Abdul Malek Abdul Karim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar dan wakil Malaysia Book of Records, Nurasyikin Ramli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 11:10 PM
AHLI Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar (kanan) merasmikan majlis penutup sambil diperhatikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Abdul Malek Abdul Karim (tengah). FOTO Sharul Hafiz Zam

ANTARA peserta yang mengambil bahagian dalam memasak cucur peneram. FOTO Sharul Hafiz Zam
ANTARA peserta yang mengambil bahagian dalam memasak cucur peneram. FOTO Sharul Hafiz Zam
AHLI Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar (tengah) mendatangani sijil akuan Malaysia Book Of Record dengan disaksikan pengawai Malaysia Book Of Record, Nurasyikin Ramli (empat kanan) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr Abdul Malek Abdul Karim (kanan). FOTO Sharul Hafiz Zam