GAJAH yang ditembak mati oleh renjer Jabatan Hidupan Liar Sabah di Kalabakan, Tawau. FOTO ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
GAJAH yang ditembak mati oleh renjer Jabatan Hidupan Liar Sabah di Kalabakan, Tawau. FOTO ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
Norasikin Daineh


Tawau: Gajah jantan yang mengorbankan nyawa pekerja ladang warga Indonesia di Ladang Dumpas, Kalabakan, Sabtu lalu ditembak mati oleh renjer Jabatan Hidupan Liar Sabah, semalam.

Pengarahnya, Augustine Tuuga berkata, pihaknya tidak mahu mengambil sebarang risiko dengan gajah berkenaan.

"Kita tidak mahu mengambil sebarang risiko dengan gajah jantan ini kerana ia sudah membunuh manusia.

"Kemungkinan gajah ini akan menyerang lagi sekiranya ia terserempak dengan sesiapa sahaja dalam laluannya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Augustine berkata lagi, pihak Jabatan Hidupan Liar Sabah sudah mengesahkan bahawa gajah berkenaan berada dalam keadaan mengawan.

"Gajah ini dalam peringkat tertinggi aktiviti mengawan dan ia menjadi agresif ekoran peningkatan hormon testosteron dalam badan serta punca kepada tingkah laku ganas gajah berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, Augustine turut mengarahkan pegawainya di kawasan pantai timur sentiasa bersedia dan berjaga-jaga memantau aktiviti kumpulan gajah di kawasan berkenaan.

"Saya mengarahkan pegawai saya untuk terus memerhati kelakuan haiwan terbabit dalam kumpulannya," katanya.

Sabtu lalu, dalam kejadian kira-kira 3 petang, Ciin Bedu, 48, maut selepas diserang dan dipijak gajah ketika sedang bekerja di ladang terbabit.

Berita berkaitan:

Maut diserang gajah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 5:39 PM