KARTINA bersama Muhammad.
KARTINA bersama Muhammad.
KARTINA elak sikap suka membeza-bezakan anak.
KARTINA elak sikap suka membeza-bezakan anak.
MUHAMMAD boleh fokus melukis sehingga dua jam.
MUHAMMAD boleh fokus melukis sehingga dua jam.
Hajahfarhana Tarmudi


Muhammad Ismaida Zamri, 7, anak keempat daripada lima beradik. Antara lima beradiknya itu, hanya Muhammad seorang yang memegang status sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan (mata kiri separa buta).

Ibunya, Kartina Md Khalid berkata, Muhammad mengalami masalah penglihatan sejak lahir iaitu hanya 25 peratus mata sebelah kirinya boleh berfungsi untuk melihat dengan memakai kaca mata.

“Ketika mengandungkan Muhammad, saya mengalami pendarahan yang banyak dan 70 peratus air ketuban mengalir keluar. Ketika kandungan masih berusia 28 minggu, saya terpaksa melahirkan Muhammad.

“Saya terpaksa dibedah kerana masalah berkenaan dan kembarnya yang sudah meninggal. Dua minggu pertama, Muhammad perlu diberi bantuan pernafasan kerana dilahirkan dalam keadaan pramatang.

“Pemberian oksigen yang tinggi untuk menyelamatkan nyawanya itu pada masa sama memberi kesan kepada matanya kerana ia merosakkan saraf optik Muhammad,” katanya.

Disebabkan masalah penglihatannya itu, Muhammad menghadapi pelbagai masalah seperti tidak dapat melihat dengan jelas bentuk tangga dan paras air dalam cawan hingga pernah hampir lemas ketika minum.

Sejak itu, Muhammad fobia minum air menggunakan cawan oleh itu peranan Kartina sangat penting untuk mengajar kaedah terbaik bagi mengelak anaknya lemas lagi.

Kartina juga pernah merangkak sama untuk mengajar Muhammad kaedah menaiki atau merasai struktur tangga untuk mengelakkannya jatuh disebabkan dia kurang upaya melihat bentuk tangga dengan jelas.

Bukan itu saja, perkembangan berjalan Muhammad juga agak lambat berbanding kanak-kanak lain. Dia boleh berjalan ketika usianya dua tahun, itu pun selepas menjalani latihan terapi dan senaman.

“Saya perlu membuat rujukan dengan pakar dan mengkaji sendiri terapi atau senaman yang baik untuk perkembangan Muhammad.

“Antara aktiviti dilakukan ialah terapi seni, berenang dan karate. Itu semua dilakukan dengan inisiatif sendiri selain menghadiri bengkel berkaitan.

“Lebih menggembirakan hati apabila saya dapat lihat perkembangan Muhammad selepas berusaha melakukan senaman dan terapi.

“Fokus matanya semakin baik malah latihan berenang juga banyak membantu mengurangkan masalah otot yang sering kejang satu ketika dulu,” katanya.

Biarpun ketika berusia empat tahun Muhammad baru dapat memegang pensel dengan betul, dia mampu menghabiskan tempoh sehingga dua jam tanpa henti dengan melukis.

Hasil lukisannya diperbaiki sedikit demi sedikit hingga berupaya melukis objek yang dilihat dalam bentuk 3D. Bukan itu saja, dia juga jarang menggunakan pembaris untuk membuat garisan dan itu salah satu kelebihan dirinya.

Lebih bermakna, melalui terapi lukisan ia sedikit sebanyak dapat mengubah sikap pemarah Muhammad dan kini dia lebih bijak mengawal perasaan.

Muhammad juga menghadapi masalah percakapan disebabkan masalah lidah terikat (tongue-tie). Empat tahun ke atas barulah Muhammad mampu bercakap dengan jelas, itupun selepas menjalani terapi bercakap dan latihan neuro.

Bagi melatih ingatannya pula, Muhammad dihantar bersekolah di sekolah tahfiz. Kini, Kartina bersyukur kerana Muhammad menunjukkan perubahan melalui terapi dan senaman yang dijalankan sejak kecil.

Ujarnya, Muhammad baru selesai menjalani pembedahan memanjangkan otot kaki sebelah kiri disebabkan saraf dan ototnya yang lemah sekali gus memberi kesan kepada caranya berjalan.

Masalah genetik

Mengimbau masa lalu, Kartina menceritakan kembali masalah keguguran yang dialaminya sebelum ini. Kartina pernah mengandung 10 kali (dua kali kembar), namun antara jumlah berkenaan hanya lima saja kandungannya yang berjaya diselamatkan.

“Perkara berkenaan disahkan doktor bukan disebabkan rahim yang lemah tetapi menghadapi penyakit keturunan iaitu berkaitan masalah ketidakstabilan hormon.

“Dalam tempoh 10 tahun berkahwin, kandungan kali ketiga, keempat dan kelima gugur selepas melepasi trimester pertama manakala anak yang kelapan pula dilahirkan pramatang.

“Anak bongsu yang dilahirkan pramatang ketika kandungan berusia lapan bulan kerana tempoh kandungan yang rapat selepas kelahiran Muhammad,” katanya.

Jelasnya, pengalaman paling perit ketika kandungan keempatnya yang disahkan kembar berusia lima bulan mengalami keguguran.

Ketika itu, dia sekeluarga berada di Brunei kerana suami bertugas di sana. Disebabkan jauh daripada sokongan ahli keluarga lain di samping tidak dibenarkan memegang dan melihat janinnya sebelum dikebumikan, dia mengalami kemurungan selama dua minggu kerana terlalu sedih.

Namun, sedikit demi sedikit semangatnya berjaya dipulihkan kembali. Biarpun jauh daripada keluarga, dia tetap menerima sokongan mereka melalui telefon selain kehadiran kawan rapat yang banyak mendorongnya untuk kembali pulih.

Tiada gajet

“Bagi saya setiap anak adalah istimewa walaupun ada antara mereka dilahirkan tidak normal. Prinsip utama saya tidak membezakan baik dan buruk setiap anak kerana masing-masing mempunyai kelebihan yang dianugerahkan.

“Oleh itu, saya membuat kaji selidik sendiri mengenai usaha yang perlu dilakukan bagi melihat kemahiran mereka dan memastikan anak mendapat manfaat dengan kaedah yang dipilih,” katanya.

Ujarnya, dia juga berkeras untuk mengelak daripada memperkenalkan gajet kepada semua anaknya pada awal usia jika mereka belum memiliki kemahiran 3M iaitu menulis, membaca dan mengira.

Ini kerana gajet mempunyai unsur cahaya atau radiasi yang membuatkan mata mudah penat. Bagi menjaga kesihatan mata dan perkembangan kelima-lima anaknya, Kartina berkeras tidak mahu memperkenalkan gajet kepada mereka ketika masih kecil.

Dia lebih suka menggalakkan mereka menulis atau melukis bagi mengisi masa terluang. Bukan itu saja, ibu bapa juga perlu memerhatikan perkembangan dan minat anak masing-masing.

“Jika anak kurang minat pada akademik, jangan paksa sebaliknya cuba lihat kemahiran atau bakat anak dan asah sejak kecil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 11:41 AM