HOE (dua dari kiri) pada perasmian stor ke-100 di Aman Central.
HOE (dua dari kiri) pada perasmian stor ke-100 di Aman Central.
Norul Awatif Romli

Alor Setar: Cuckoo International (MAL) Sdn Bhd menyasarkan pembukaan sebanyak 150 stor jenama itu di seluruh negara menjelang hujung tahun ini selepas mencatat pertumbuhan jualan enam kali ganda sejak Januari sehingga Oktober lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hoe Kian Choon berkata, sehingga kini Cuckoo mempunyai 107 stor jenama itu di seluruh negara dan yakin mampu mencapai sasaran itu apabila membuka sehingga 15 stor jenama sebulan.

Katanya, keyakinan menambah pembukaan stor jenama itu juga selaras dengan kejayaan Cuckoo menjual 80,000 unit penapis air berbanding sasaran awalnya 72,000.

“Apabila kami membuka stor jenama Cuckoo pertama iaitu dua tahun lalu, tujuan utamanya adalah untuk menarik perhatian pasaran memandangkan puluhan ribu pengunjung yang berkunjung ke pusat membeli-belah di seluruh negara.

“Apabila mereka melihat jenama Cuckoo, pengguna menjadi semakin yakin bahawa jenama ini akan terus berkembang dan ini yang menjadi lonjakan semangat untuk kami terus mengukir kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pembukaan stor jenama ke-100 Cuckoo di pusat membeli-belah Aman Central, di sini.

Hoe berkata, sempena dengan pencapaian memberangsangkan selama tempoh 24 bulan lalu, pihaknya turut memperkenalkan stor jenama berwajah baru dengan transformasi rekaan dalaman bertemakan kediaman bagi memberi keselesaan kepada pelanggan selain memudahkan mereka memahami produk Cuckoo.

Katanya, pembukaan cawangan baru dari semasa ke semasa itu sebagai strategi melebarkan sayap perniagaan selain mengukuhkan kesedaran dalam kalangan pengguna terhadap jenama Cuckoo di seluruh negara.

“Selain Malaysia, kita turut bercadang mengukuhkan perkhidmatan Cuckoo di pasaran Brunei yang kini mempunyai tiga stor jenama, Singapura (sebuah) dan Filipina (sebuah) sebelum mula berkembang ke rantau Asia Tenggara secara keseluruhannya menjelang tahun hadapan,” katanya.

Pada majlis itu, Cuckoo turut melancarkan penapis air beralkali terbaru dikenali King Top yang mempunyai pelbagai kelebihan.

King Top adalah penapis air beralkali ringan pertama diperkenalkan dengan memiliki pilihan daripada air bersuhu bilik sehingga tujuh peringkat air sejuk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 7:18 AM