HONDA BR-V yang bakal diperkenalkan ke pasaran tempatan.
HONDA BR-V yang bakal diperkenalkan ke pasaran tempatan.
KIA Grand Carnival bercirikan MPV mewah lapan tempat duduk.
KIA Grand Carnival bercirikan MPV mewah lapan tempat duduk.
PROTON Iriz Edisi Terhad.
PROTON Iriz Edisi Terhad.
Mohd Razlan Salleh

Sebanyak tiga model baharu diperkenalkan sepanjang Pameran Auto Malaysia 2016 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Program anjuran Institut Automotif Malaysia (MAI) dengan kerjasama Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Auto Pro itu juga membolehkan pengunjung melihat lebih dekat model kereta penumpang elektrik tempatan pertama hasil kerjasama syarikat tempatan, Amber Dual Sdn Bhd dan gergasi automotif China, Beijing Automotive Industry Holding Company (BAIC).

Antara model baru diperkenalkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Kia Grand Carnival, Proton Iriz Edisi Terhad dan kenderaan utiliti sukan (SUV)prototaip Honda BR-V.

Bagi Kia Grand Carnival lapan tempat duduk itu, jentera berkenaan didatangkan khas oleh Naza Kia Malaysia dan bakal menyusuri jalan raya sekitar negara ini tahun hadapan.

Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, pengedar rasmi jenama itu sudah membuka tempahan kepada orang ramai untuk memilikinya.

MPV terbaru itu dijana enjin diesel turbo 2.2L CRDi yang mampu menghasilkan kuasa kuda mencecah 193PS dan tork sehingga 440Nm selain dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan.

Oleh kerana kenderaan itu direka untuk membawa ramai penumpang, ciri keselamatan turut dipertingkatkan antaranya Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Tarikan (TCS), Sistem Bantuan Brek (BAS) Agihan Daya Brek Eketronik (EBD), Sistem Brek Anti Kekunci (ABS), enam beg udara dan ISOFIX.

Harga ditawarkan sekitar RM160,000 seunit.

Model baharu lain dilancarkan SUV tujuh tempat duduk Honda BR-V yang bermaksud ‘Bold Run-about Vehicle’ yang dibangunkan Pusat Kajian dan Pembangunan (R&D) Honda Asia Pacific Co Ltd (HRAP) Thailand bersama Honda Indonesia.

Sudah pasti model ini mendapat tarikan pengunjung berikutan BR-V menawarkan tujuh tempat duduk selain bentuknya mirip Crossover moden.

Meskipun dikategorikan sebagai SUV, BR-V dijangka bersaing dengan model MPV berikutan kelebihan konfigurasi tujuh tempat duduk dimilikinya. Namun, model baharu itu belum dinyatakan harganya dan dijangka dibawa masuk ke pasaran negara ini tahun hadapan.

Pengeluar kenderaan tempatan, Proton juga tidak terkecuali memeriahkan pameran itu apabila memperkenalkan Iriz Edisi Terhad yang hanya dijual 2,000 unit.

Dua rekaan diperkenalkan iaitu ‘Honeycomb’ yang ditawarkan pada model Iriz berwarna kelabu dan putih manakala varian ‘The Stripe’ khusus untuk model berwarna merah dan biru. Dua rekaan ini hanya membabitkan model Proton Iriz 1.3 CVT Standard dan 1.3 CVT Executive. Menariknya, harga Proton Iriz Edisi Terhad tidak berubah dan dijual pada harga bermula RM44,450 hingga RM49,130 seunit.

Ketiga-tiga model terbaharu berkenaan dilancarkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sementara itu, BAIC menjadi syarikat automotif pertama memasang kenderaan elektrik (EV) di negara ini melalui model EV200.

Model yang dipasang di Gurun, Kedah mampu bergerak sejauh hampir 250 kilometer (km) pada kelajuan sekitar 60 km sejam (km/j|) dengan sekali cas penuh selama satu jam 15 minit.

Kelajuan maksimum dicatatkan bagi model ini ialah 125 km/j manakala pecutan dari kedudukan pegun ke 100 km/j adalah sekitar 15 saat. Jentera berkuasa 40 hp dan tork setinggi 102 Nm ini menggunakan motor elektrik untuk menggerakkan roda hadapannya.

Seperti model Tesla, EV200 menggunakan skrin sesentuh lapan inci pada papan pemuka untuk mengakses semua peralatan elektronik yang ada termasuk penyaman udara.

Bateri berkuasa 30.4 kWh yang digunakannya boleh bertahan sehingga 10 tahun atau 600,000 km. Model ini bakal diperkenalkan tahun hadapan dan masih tiada lagi harga dinyatakan buat masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:01 AM