Anis Solehah (kiri) bersama Anis Sofiah menunjukkan slip keputusan 6A yang diperolehi mereka dalam UPSR. FOTO Aizat Sharif
Anis Solehah (kiri) bersama Anis Sofiah menunjukkan slip keputusan 6A yang diperolehi mereka dalam UPSR. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Kangar: Keserasian dalam mentelaah pelajaran bersama memberi kejayaan kepada kembar, Anis Sofiah Zolkharnain dan Anis Solehah Zolkharnain memperoleh keputusan cemerlang 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Perlis.

Pasangan kembar berusia 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah, Arau adalah antara 45 orang murid dari 3,805 calon UPSR di negeri itu yang mendapat keputusan semua A.

Anis Sofiah berkata, dia tidak menjangka kejayaan cemerlangnya itu dapat diulangi bersama dengan kembarnya selepas berjaya mendapat keputusan yang sama ketika periksaan UPSR peringkat percubaan beberapa bulan lalu.

"Sejujurnya, kami tidak pernah menyangka bahawa kami berdua dapat mengulangi untuk meraih keputusan cemerlang 6A selepas mendapat keputusan yang sama pada peringkat percubaan.

"Ini kerana kami tidak ada satu sasaran khusus tetapi sebaliknya hanya mengharapkan satu keputusan itu baik sahaja sebagai bekalan untuk meneruskan pengajian di peringkat menengah di sekolah yang terbaik," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan UPSR peringkat Negeri Perlis di Pejabat Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Behor Pulai, disini, tadi.

Menurut Anis Sofiah, mereka tidak mengambil tuisyen sebagai persediaan tambahan untuk peperiksaan sebaliknya hanya bergantung kelas tambahan di sekolah sebagai langkah untuk mereka mengulangkaji semula segala subjek yang diajarkan oleh guru mereka di sekolah.

"Kami berada di kelas yang sama sejak dari Tahun Satu dan segala apa yang diajar oleh guru kami akan sentiasa diberikan tumpuan sepenuhnya dalam kelas.

"Malah, tiada tuisyen disediakan oleh ibu bapa kami tapi sebaliknya kami sentiasa mengikuti kelas tambahan peringkat sekolah yang lazimnya diadakan selepas waktu sekolah," katanya lagi.

Pasangan kembar berkenaan adalah anak keempat dan kelima Zolkharnain Abidin, 49 dan Basniza Abu Bakar, 47 juga mewakili sekolah dalam sukan hoki.

"Jika kami mengikuti latihan hoki di sekolah pada waktu petang, kami akan gunakan waktu malam dan juga waktu terluang untuk sering melakukan ulang kaji pelajaran.

"Selain itu juga, kejayaan abang dan kakak kami terdahulu yang berjaya melanjutkan pelajaran di menara gading serta bersekolah di sekolah yang terbaik menyebabkan kami juga mahu menjadi seperti mereka.

Bagi adiknya, Anis Solehah pula walaupun mereka serasi dan sentiasa bersama dalam segala hal, dia lebih bercita-cita untuk menjadi seorang doktor sedangkan kakaknya pula mahu menjadi seorang peguam.

"Mungkin dalam soal cita-cita, kami agak berlainan kerana kakak saya mahu jadi peguam dan saya ingin membantu masyarakat dengan menjadi doktor.

"Perancangan kami selepas ini adalah untuk meneruskan pengajian di peringkat menengah di sekolah terbaik di Perlis atau di tempat lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 3:51 PM