ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Noraina Raja Rahim


Seremban: Taktik sindiket judi dalam talian yang menjalankan semula aktiviti mereka secara sembunyi selepas menutup premis selama empat bulan, tidak berhasil apabila dikesan polis.

Hasilnya, 27 lelaki termasuk penjaga premis ditahan dalam serbuan Ops Dadu di premis di Mutiara Galla di sini, malam tadi.

Serbuan 10 malam itu dilakukan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Norazman Mohamad Yusof berkata, dalam serbuan 23 lelaki termasuk dua warga Bangladesh berusia antara 20-an hingga 40-an ditahan.

"Turut ditahan empat lelaki warga Bangladesh berusia 30-an mengaku penjaga premis itu. Polis turut merampas 10 mesin simulator, komputer dan wang tunai RM560.

"Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c), 55(B) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4B(a), Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, JHEAINS turut menahan tiga lelaki beragama Islam mengikut Seksyen 79A(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 11:00 AM