SHI mencium ular sawa peliharaannya selepas memandikan reptilia itu di rumahnya. - Agensi
SHI mencium ular sawa peliharaannya selepas memandikan reptilia itu di rumahnya. - Agensi
Agensi

Haikou (China): Satu pasangan suami isteri di sini berkongsi kediaman mereka dengan seekor ular sawa seberat 60 kilogram yang dianggap sebagai anak mereka sendiri.

Lebih menarik lagi pasangan berkenaan turut menyediakan bilik tidur untuk ular sepanjang 3.7 meter itu dan turut membawanya bersiar-siar setiap petang.

Shi Jimin, 68, berkata, dia membela reptilia berkenaan pada 2009 selepas diberi oleh seorang penjual ular di tempatnya bekerja.

“Penjual itu mahu membunuhnya tetapi saya menawarkan diri untuk menjaga haiwan berkenaan yang ketika itu hanya sepanjang 30 sentimeter bagi menyelamatkannya daripada dibunuh,” katanya.

Menurutnya, apabila dibawa ke rumah isterinya juga teruja menjaga haiwan itu dan tidak menyangka ia membesar dengan cepat.

Pakar reptilia memberitahu, usia ular sawa itu masih muda dan ia mampu menjadi lebih besar lagi.

Kata Shi, ular berkenaan yang dinamakan Nanwang sangat manja dan suka menjalar di atas riba mereka ketika dia dan isterinya menonton televisyen.

Menurutnya, dia membiarkan Nanwang berkeliaran bebas di dalam rumah dan ular itu tidak pernah cuba menggigit mereka.

“Pada setiap petang saya akan memandikan Nanwang dan membawanya tidur di dalam sebuah bilik yang dikhaskan untuknya.

“Saya memberi Nanwang makan ayam sehingga lapan ekor setiap 20 hingga 30 hari,” jelasnya.

Tambahnya, jirannya pada mulanya takut dengan Nanwang tetapi kini mereka sering bermain dengan ular itu setiap kali dia membawanya bersiar-siar di taman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 5:10 AM