TITI Eco Farm Resort tawar penginapan dan persekitaran yang sihat
TITI Eco Farm Resort tawar penginapan dan persekitaran yang sihat
PEMANDANGAN menghijau yang mengujakan di Titi Eco Farm Resort.
PEMANDANGAN menghijau yang mengujakan di Titi Eco Farm Resort.
MEMETIK sendiri sayuran segar yang akan dimasak untuk makan tengah hari cukup mengujakan.
MEMETIK sendiri sayuran segar yang akan dimasak untuk makan tengah hari cukup mengujakan.
Suliati Asri


Kehijauan alam semula jadi yang menjadi santapan mata saat bangun dari tidur, cukup mendamaikan. Kicauan burung yang bebas berterbangan ibarat memberikan ucapan selamat pagi.

Sayur-sayuran hijau yang basah dek embun pagi memberikan kesegaran kepada tanaman yang ditanam secara organik.

Hidangan sarapan sihat dengan ulam-ulaman termasuk bunga raya nyata sesuatu yang istimewa dan baik untuk memulakan hari yang indah.

Itulah yang pastinya dirasai saat menginap di Titi Eco Farm Resort, Titi, Jelebu, Negeri Sembilan.

Mengunjunginya selepas hampir tiga tahun tidak berkunjung ke situ, anjuran Tourism Malaysia memperlihatkan banyak perubahan terutama kemudahan yang disediakan.

Namun, konsep asal yang diketengahkan sejak dibuka tahun 1997 lalu tetap sama iaitu memberi peluang kepada pengunjung merasai percutian dan kehidupan sihat menerusi produk organik.

Terletak kira-kira 30 meter di atas paras laut, udara yang sejuk, segar, bersih dan kedudukannya yang dikelilingi bukit-bukau serta kehijauan pemandangan gunung menakjubkan membuatkan Titi Eco Farm Resort antara lokasi wajib dikunjungi.

Ia juga antara destinasi percutian yang ideal untuk merehatkan badan dan minda kerana bebas dari hiruk-pikuk kehidupan bandar.

Memulakan penerokaan di ladang seluas lebih kurang 16 hektar ini, kami dibawa mengunjungi kebun sayur-sayuran yang ditanam secara organik, tanaman buah-buahan, taman herba, kolam ikan ladang ternakan serta kawasan rekreasi.

Sejujurnya, berjalan di kebun sayur-sayuran yang menghijau dengan udara bersih nyata memberikan kesegaran tersendiri.

Lebih menarik, penulis bersama rombongan juga berpeluang mengenali beberapa jenis tanaman yang jarang dijumpai.

Sistem tanaman secara organik yang diterapkan di sini juga cukup mengagumkan.

Usai menjelajah, hidangan makan tengah hari yang sihat bagaikan mengembalikan tenaga digunakan saat menjelajah di sekitar resort ini.

Hidangan termasuk sup sayuran organik, kacang bendi dan beras perang cukup menyelerakan. Lebih menarik, semuanya segar dipetik dari kebun di sini.

Pengurus Resort, Lim Chih Lun, 32, berkata resort ini menawarkan percutian sihat selain memberikan pemahaman berkenaan organik kepada pengunjung.

Katanya, resort ini menawarkan dua jenis pakej bagi pengunjung yang ingin datang ke sini iaitu perjalanan siang dan bermalam dipenuhi dengan aktiviti cukup mengujakan.

“Bagi perjalanan siang, pengunjung dibawa melawat kawasan ladang, memetik sayur-sayuran, buah-buahan dan makan tengah hari dengan menu sihat serta organik.

“Bagi yang bermalam pula, antara aktiviti yang ditawarkan termasuk membuat roti organik, melawat kawasan kebun yang mendamaikan dan pastinya beristirahat serta bersantai di sini,” katanya.

Menawarkan 30 bilik jenis dorm, semi D dan energy garden, pengunjung yang bermalam juga berpeluang mempelajari serta memperoleh maklumat berkenaan pemakanan organik dari pengasas resort ini iaitu Lim Mok Lai.

Keesokan paginya pula, pengunjung berpeluang menikmati keenakan sarapan pagi yang unik dan sihat untuk memulakan hari antaranya roti organik yang dibuat sendiri oleh mereka dan salad bunga raya.

“Bunga raya ini sangat sesuai bagi anda yang menghidap darah tinggi, mengaktifkan hormon, anti tekanan, memberikan keceriaan dan melancarkan darah.

“Selain itu, aktiviti pagi dengan bersantai dan merasai sendiri kehidupan pekebun dengan memetik sayuran serta buah-buahan di kebun juga antara aktiviti yang disukai pengunjung,” katanya.

Pemandangan di Titi Eco Farm Resort ini juga yang menyegarkan membuatkan pengunjung lebih tenang dan merasa damai.

Selain bercucuk tanam, resort ini juga menghasilkan produk organik sendiri yang dijual di kedai cenderahati, farmasi dan produk organik di seluruh negara.

Sayur-sayur dan buah-buahan segar juga boleh dibeli untuk dibawa pulang.

Jika mencari kelainan untuk percutian akan datang, Titi Eco Farm Resort antara destinasi cukup sesuai terutama anda yang menitikberatkan kesihatan dan pemakanan.

Sebarang maklumat lanjut, layari laman web www.titieco.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 11:23 AM