Amar Singh (kiri) diberi penerangan oleh Naim di IPK KL. FOTO BERNAMA
Amar Singh (kiri) diberi penerangan oleh Naim di IPK KL. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) perlu mewujudkan segera pasukan pecut kebangsaan sebagai strategi untuk meraih pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut mantan Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad, langkah itu juga penting untuk menyediakan pelumba pelapis negara sebagai pesaing utama pingat di Tokyo dalam masa empat tahun lagi.

"Saya melihat Mohd Azizulhasni Awang masih penting untuk kita di Tokyo. Dia boleh menjadi tunjang kepada pasukan pecut kita dan dia perlukan dua lagi pelumba untuk membantunya. Apabila sudah ada satu pasukan yang lengkap, mereka perlu menyertai siri kejohanan Piala Dunia Klasik untuk mendapat kelayakan ke Olimpik.

Selepas kita dapat meluluskan pasukan, secara automatik kita akan dapat pelumba yang layak ke acara pecut dan keirin. Dulu kita hanya bergantung kepada Mohd Azizulhasni semata tetapi kali ini saya pohon supaya ada pasukan pecut untuk layakkan kita ke Tokyo," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman laluan bagi cabaran 'OCBC Cycle KL' 2016 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sementara itu, Naim juga yakin bahawa dua pelumba muda yang mampu memantapkan pasukan pecut itu bersama-sama Mohd Azizulhasni ialah Mohd Shah Firdaus Sahrom dan pemegang tiga pingat emas kejohanan Basikal Trek Asia, Mohd Firdaus Mohd Zonis, yang kini sedang berehat sementara.

"Saya memang berharap Mohd Firdaus kembali menyarung jersi kebangsaan kerana saya sendiri pernah menyaksikan aksinya ketika meraih gangsa di Kejohanan Dunia Remaja di Korea Selatan dua tahun lalu. Dia merupakan pelumba ketiga terpantas dunia bagi acara satu kilometer, jadi wajarlah kita merayu kepadanya untuk kembali," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata pihaknya bersedia untuk menguruskan kawalan keselamatan dan aliran trafik bagi 'OCBC Cycle KL' 2016 yang akan berlangsung pada Ahad ini.

"Lebih 2,000 peserta telah mengesahkan penyertaan mereka setakat ini dan kami akan meletakkan anggota yang secukupnya untuk acara ini. Laluan kali ini telah ditukar kepada tiga pusingan sejauh 14km untuk jumlah jarak sebanyak 42km.

Para peserta berpeluang menyaksikan beberapa mercu tanda ikonik Kuala Lumpur sepanjang perlumbaan ini seperti Tugu Negara, Masjid Negara, Menara Berkembar Petronas dan sebagainya," katanya.

Perlumbaan akan bermula di Dataran Merdeka melalui Jalan Sultan Salahuddin ke Jalan Tun Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja dan Jalan Sultan Hishamuddin sebelum berakhir di Dataran Merdeka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 11:00 PM