Mohammad Ammar Ikhwan menunjukkan cara dia menulis menulis sambil diperhatikan guru. FOTO Nor Farhani Che Ad
Mohammad Ammar Ikhwan menunjukkan cara dia menulis menulis sambil diperhatikan guru. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


Sungai Petani: Seorang pelajar yang kecacatan tangan kanan dan kaki antara calon berkeperluan khas (CBP) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Akademi Islam Haji Abdullah Suboh di Kota Kuala Muda, di sini, hari ini.

Selain lima subjek asas, Mohammad Ammar Ikhwan Saad, 17, turut mengambil peperiksaan Bahasa Arab, Perdagangan, al-Quran dan Sunnah dan Syariah Islamiah.

Anak pasangan Saad Saidin, 53, dan Sharifah Yusoff, 51, itu bercita-cita menjadi seorang tahfiz dan meminati bidang Syariah, Bahasa Arab, al-Quran dan Sunnah.

Menurutnya, sebelum ini, dia belajar di sekolah tahfiz di Tikam Batu sebelum bertukar ke sekolah sekarang dan bercadang menyambung pengajian tahfiz selepas SPM.

Biarpun mempunyai masalah untuk menulis, Mohammad Ammar Ikhwan yang dilatih sejak usia empat tahun kelihatan berkeyakinan ketika menduduki subjek Bahasa Melayu (Kertas 1) tanpa bantuan namun dia disediakan meja besar bagi subjek Matematik yang memerlukan lukisan geometrik.

Sementara itu, pengetua sekolah, Shahidah Shahabudin berkata, Mohammad Ammar Ikhwan seorang pelajar yang pandai berdikari.

"Dia memasuki sekolah ini sejak tingkatan tiga, dia peramah, sering bertanyakan soalan dan mahu dilayan sama seperti pelajar lain.

"Dia sangat berdikari, apa yang kawan-kawan lakukan, dia juga boleh lakukan, tulisannya kemas dan cantik terutama Arab dan jawi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 3:21 PM