Warsaw: Real Madrid mensia-siakan pendahuluan dua gol dan peluang layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas seri 3-3 dengan Legia Warsaw ketika beraksi di stadium yang kosong di ibu negara Poland itu.

Gareth Bale (gambar) mencetak gol terpantas Madrid dalam Liga Juara-Juara selepas hanya 55 saat sebelum mengumpan kepada Karim Benzema bagi gol kedua Real.

Bagaimanapun, Legia melancarkan kebangkitan menakjubkan ketika gol sumbangan Vadis Odjidja-Ofoe, Miroslav Radovic dan Thibault Moulin meletakkan juara Poland itu di ambang kemenangan bersejarah.

Namun Mateo Kovacic menyelamatkan maruah Real dan kini 27 perlawanan tanpa kalah buat juara Eropah itu apabila dia merembat masuk lima minit sebelum tamat.

“Agak pelik kerana stadium kosong tapi tiada alasan sebenarnya,” ujar Bale.

“Kami perlu bertindak lebih baik ketika bertahan dan perlu lebih klinikal dengan peluang yang diperoleh.”

Seri bermakna Madrid kini ketinggalan dua mata di belakang Borussia Dortmund di puncak Kumpulan F dengan berbaki dua perlawanan.

Dortmund layak ke pusingan kedua selepas menang 1-0 ke atas Sporting Lisbon.

“Saya bertanggungjawab dengan semua ini,” ujar bos Madrid, Zinedine Zidane.

“Akhirnya kami tidak kalah dan ia sesuatu yang bagus buat kami, tapi ia agak menakjubkan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 7:41 AM