Setiap hari, purata 20,000 kenderaan didaftarkan di Singapura memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Link Kedua.
Setiap hari, purata 20,000 kenderaan didaftarkan di Singapura memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Link Kedua.
BERNAMA

Singapura: Singapura akan melaksanakan tindakan sepadan dengan langkah Malaysia mengenakan caj jalan raya (RC) sebanyak RM20 di dua pintu masuk darat ke Johor – Tambak Johor dan Link Kedua - yang berkuatkuasa hari ini.

Menurut Channel NewsAsia yang memetik kenyataan Kementerian Pengangkutan, caj jalan raya dikenakan Malaysia ‘adalah satu diskriminasi terhadap kenderaan yang didaftarkan di Singapura kerana ia hanya terpakai di pusat pemeriksaan Singapura’.

Menurut laporan itu, butiran terperinci mengenai langkah yang akan diambil itu akan diumumkan kementerian berkenaan tidak lama lagi.

Pada 29 Oktober lalu, Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan Malaysia tidak pernah bersikap diskriminasi dalam melaksanakan RC bagi kenderaan berpendaftaran luar negara dari Singapura yang memasuki Malaysia kerana ia juga akan dilaksanakan di pintu masuk dari negara lain secara berperingkat.

Menurut Liow, pelaksanaan RC itu sudah dimaklumkan kepada rakan sejawatan beliau dari Singapura.

“Singapura sudah mengenakan RC terhadap kami sejak beberapa dekad lalu. Kami baru sahaja hendak memulakannya sekarang.

“Tidak ada diskriminasi. Kami akan kenakan caj jalan raya bukan saja di sempadan kami dengan Singapura, tetapi juga di sempadan kami dengan Thailand, Brunei dan Indonesia pada kadar sama iaitu RM20 bagi setiap kereta," kata Liow yang dipetik dalam laporan media sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 11:01 PM