MAYAT mangsa yang ditemui di dalam longkang. FOTO ihsan Bomba
MAYAT mangsa yang ditemui di dalam longkang. FOTO ihsan Bomba
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Seorang gelandangan lelaki berusia 30-an ditemui mati di dalam longkang di Taman Sri Rampai, di sini, 7 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Wangsa Maju Deputi Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan melihat mayat dalam keadaan tertiarap di dalam longkang.

Menurutnya, pihaknya kemudian menghubungi Balai Bomba Wangsa Maju bagi membantu menaikkan mangsa.

"Siasatan mendapati kematian mangsa tidak menjurus kepada unsur jenayah. Mangsa seorang gelandangan yang tingggal di pos pengawal yang tidak digunakan lagi berhampiran Jalan 86/26, Taman Sri Rampai.

"Pihak kami difahamkan, lelaki itu tinggal di situ sejak empat bulan lalu dan menurut penduduk mangsa kurang siuman dan tidak mempunyai keluarga," katanya ketika dihubungi.

Ramli berkata, mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 5:10 PM