PASUKAN operasi mencari dan menyelamat dibahagikan kepada tiga pasukan dan turut membabitkan unit udara bomba. FOTO ihsan Bomba
PASUKAN operasi mencari dan menyelamat dibahagikan kepada tiga pasukan dan turut membabitkan unit udara bomba. FOTO ihsan Bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Marudi: Dua puluh dua individu daripada pelbagai agensi terbabit dalam Operasi Mencari dan Menyelamat Warga Australia, Gaskell Andrew James yang hilang di Taman Negara Mulu, Miri sejak 21 Oktober lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, operasi itu turut membabitkan unit udara bomba.

Menurutnya, pasukan penyelamat Op SAR Mulu dibahagikan kepada tiga kumpulan.

"Kumpulan pertama disertai enam individu yang akan membuat pencarian di kawasan Gua Rusa dan Laluan Marriot. Kumpulan kedua yang turut dianggotai enam individu membuat pencarian di kawasan kem satu hingga ke Sarawak Chamber membabitkan jarak sembilan kilometer.

"Kumpulan ketiga yang dianggotai 10 individu terbabit dalam pencarian di kawasan Gua Lagang dan Sarawak Chamber dengan jarak pencarian, lapan kilometer," katanya.

Farhan berkata, Op SAR Mulu dimulakan dengan taklimat laluan Taman Negara Mulu oleh Pengurus Pejabat, Buan Rumie pada 8 pagi.

Katanya, operasi dianggotai Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, pemandu pelancong, pengurusan Taman Negara Mulu dan Jabatan Hutan Sarawak.

"Operasi kumpulan satu dan dua tergendala berikutan hujan lebat yang menyebabkan laluan licin.

"Beberapa anak sungai turut dinaiki air dengan arus deras menyukarkan pasukan penyelamat untuk menyeberang sungai," katanya.

Warga Australia, Andrew Gaskell hilang dan gagal dihubungi selepas mengembara berseorangan di Taman Negara Mulu sejak 21 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 5:34 PM