Kuala Lumpur: Anggota bomba patah tulang rusuk kiri akibat terkena hentakan nozel dalam operasi memadam kebakaran di Lorong 8, Kampung Pandan, di sini, malam tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, berkata Mohd Firdaus Mohd Amin, 25, dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Ampang bagi menerima rawatan.

“Mangsa yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Ampang kini stabil dan dibenarkan pulang kira-kira 1 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani, berkata kejadian kira-kira 10 malam tadi itu memusnahkan empat rumah setinggan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran disertai 33 pegawai dan anggota serta tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Hang Tuah, Wangsa Maju, Pandan Indah dan Ampang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 11:11 AM