(Dari kiri) Razlan bersama Ayumu serta Adam dan pengurus pasukan, Johan Stigefelt. FOTO NSTP/OSMAN ADNAN
(Dari kiri) Razlan bersama Ayumu serta Adam dan pengurus pasukan, Johan Stigefelt. FOTO NSTP/OSMAN ADNAN
Saiful Affendy Sapran


Sepang: Pelumba Moto3 negara Adam Norrodin bakal bergandingan dengan rakan sepasukan baru selepas SIC Racing Team mengumumkan Ayumu Sasaki selaku pelumba baru untuk pasukan itu di Kejuaraan Motosikal Dunia pada musim depan.

Pelumba berbakat dari Jepun itu akan menggantikan Jakub Kornfeil yang sudah bersama pasukan itu selama dua tahun.

Sasaki, 16, mempunyai pencapaian membanggakan apabila muncul juara Asia Talent Cup tahun lalu serta juara Red Bull MotoGP Rookies Cup musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali berkata, dengan rekod cemerlang itu, Sasaki adalah paling sesuai untuk menggantikan tempat Kornfeil.

"Sasaki bukanlah asing untuk kami kerana dia sudah berlumba bersama Adam di Asia Talent Cup.

"Dia adalah pelumba paling berbakat dan mengetahui pasukan ini. Harap dia dapat menjadi rakan sepasukan yang baik untuk Adam," katanya pada sidang media, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 5:45 PM