STADIUM Merdeka dari pandangan ‘mata’ burung.
STADIUM Merdeka dari pandangan ‘mata’ burung.
KEUNIKAN KLCC.
KEUNIKAN KLCC.
PEMANDANGAN menghijau sekitar Empangan Klang Gates dari udara.
PEMANDANGAN menghijau sekitar Empangan Klang Gates dari udara.
PEMANDANGAN sekitar Ampang dan Bukit Tabur.
PEMANDANGAN sekitar Ampang dan Bukit Tabur.
LANDSKAP Taman Tasik Titiwangsa yang dipenuhi kehijauan terserlah saat dilihat dari dalam helikopter.
LANDSKAP Taman Tasik Titiwangsa yang dipenuhi kehijauan terserlah saat dilihat dari dalam helikopter.
PEJABAT dan ruang menunggu KL Sky Tour di Taman Tasik Titiwangsa.
PEJABAT dan ruang menunggu KL Sky Tour di Taman Tasik Titiwangsa.
GREAVES (kiri) dan Zakaria.
GREAVES (kiri) dan Zakaria.
PERKHIDMATAN KL Sky Tour mementingkan keselamatan pelanggan.
PERKHIDMATAN KL Sky Tour mementingkan keselamatan pelanggan.
Suliati Asri


Tatkala mula duduk, perasaan takut dan teruja silih berganti. Perlahan-lahan, helikopter jenis Turbine Robinson R66 yang dipandu Pengarah Eksekutif Cempaka Helicopter Corporation Sdn Bhd Datuk James Ashley Greaves berlepas.

Namun, keramahan Greaves yang juga juruterbang berpengalaman membuatkan penulis bersama tiga lagi rakan media mulai selesa. Beransur-ansur terasa seronok berada di udara.

Ketika leka melihat keindahan Taman Tasik Titiwangsa dari udara, helikopter segera menuju ke arah Bukit Tabur sebelum ke Empangan Klang Gates.

Melihat keindahan di persekitaran empangan itu yang menghijau, tercetus perasaan tenang dan damai.

Lebih mengujakan helikopter itu sengaja diterbangkan di paras rendah sekali gus memberi peluang kepada kami menjamu mata dengan pemandangan indah.

“Kamu sudah sedia?,” tiba-tiba Greaves melontar persoalan. Belum sempat menjawab, helikopter terus dipandu laju dan membelok mengikut lengkok empangan. Terasa bagai mahu terjunam ke bumi.

Kami hanya mampu menjerit dan sesekali tertawa kecil bagi menghilangkan perasaan takut dengan gimiknya, sekali gus memberi pengalaman yang tidak ternilai.

Selesai terbang di laluan Empangan Klang Gates, kami seterusnya dibawa bersiar-siar di sekitar pusat bandar raya.

Mempesona. Hanya itu yang mampu penulis ungkapkan saat melihat mercu tanda dan pemandangan di sekitar ibu kota dari ruang udara.

Jujurnya, Kuala Lumpur cukup indah saat dilihat dari pandangan ‘mata burung’ di udara.

Tugu Negara, Taman Burung, Masjid Negara, Istana Negara, Masjid Wilayah, Stadium Merdeka dan sekitar ibu kota terlihat berbeza berbanding berada di darat.

Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) pula kelihatan sangat cantik. Dibawa mendekati dua mercu tanda itu membuatkan kami makin teruja.

Peluang merakam gambar ‘selfie’ dari udara bersebelahan KLCC tidak harus dilepaskan. Maklum saja, KLCC ketika itu berada betul-betul di sebelah kami.

Mengambil masa kira-kira enam hingga 15 minit, pengalaman melihat Kuala Lumpur menerusi KL Sky Tour sesuatu cukup bermakna.

Mula beroperasi hujung Ogos lalu, KL Sky Tour kendalian Cempaka Helicopter Corporation Sdn Bhd antara produk pelancongan terbaru buat pelancong dalam dan luar negara.

Beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang mengikut keadaan cuaca, KL Sky Tour perlu dicuba mereka yang ingin merasai pengalaman baru ketika melawat Kuala Lumpur.

Pengerusi Cempaka Helicopter Corporation Sdn Bhd Datuk Zakaria Abdul Rahman berkata, Kuala Lumpur lokasi kedua syarikatnya menawarkan perkhidmatan itu selepas Langkawi.

Katanya, pakej ditawarkan memberi peluang kepada masyarakat merasai sendiri pengalaman menaiki helikopter.

“Tidak semua orang berpeluang menaiki atau bersiar-siar dengan helikopter kerana kosnya mahal selain jarang ada syarikat mengendalikan pakej seumpama ini.

“Dengan KL Sky Tour, segenap lapisan masyarakat boleh merasai pengalaman menaiki helikopter dan bersiar-siar di ruang udara Kuala Lumpur dengan bayaran munasabah,” katanya.

Taman Tasik Titiwangsa dijadikan lokasi KL Sky Tour beroperasi kerana kedudukannya strategik dan mudah dikunjungi pelanggan.

“Bermula dari tasik ini, banyak tempat lain akan dikunjungi termasuk sekitar Kuala Lumpur, Baru Caves, Empangan Klang Gates, Genting Highlands dan banyak lagi tempat lain mengikut pilihan pelanggan,” katanya.

Memiliki lapan helikopter yang berpangkalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang keselamatan sepanjang menaiki pesawat itu menjadi keutamaan suarikat itu.

“Sebelum penumpang dibenar menaiki helikopter, mereka akan diberi taklimat keselamatan terlebih dahulu.

“Juruterbang kami pula berpengalaman serta cekap mengendalikan helikopter dengan selamat,” katanya.

Pemegang Sijil Operator Udara (AOC) daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), setiap penumpang juga dilindungi insurans.

Menawarkan empat pakej, tempoh penerbangan sekitar enam hingga 45 minit.

“Kami juga menawarkan perkhidmatan penghantaran ke destinasi diingini pelanggan termasuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur asalkan lokasi itu ada tempat pendaratan helikopter (helipad).

“Kami juga bakal menawarkan perkhidmatan perjalanan makan tengah hari dengan helikopter. Penumpang akan dibawa ke restoran di Raub untuk menikmati keenakan makanan tradisional Pahang di sana sebelum terbang semula ke Tasik Titiwangsa,” kata Zakaria.

Ingin merasai sendiri keseronokan bersiar-siar di udara dengan helikopter? Layari www.klskytour.com untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 10:34 AM