HAFIZH (kiri) meluangkan masa bersama peminat di Petaling Jaya, semalam.
HAFIZH (kiri) meluangkan masa bersama peminat di Petaling Jaya, semalam.

Kuala Lumpur: Hafizh Syahrin Abdullah mahu melupakan badi litar Phillip Island, sebaliknya terus mahu menumpukan kepada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.

Pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu sentiasa tidak bernasib baik di litar itu apabila gagal menamatkan perlumbaan pada 2014. Dia sekadar menduduki tempat ke-16 tahun lalu dan sekali lagi gagal menamatkan perlumbaan minggu lalu.

“Saya lebih semangat untuk terus berlumba di halaman sendiri nanti.

“Memang saya akui Phillip Island antara litar agak sukar, ditambah dengan cuaca sejuk dan angin kuat.

“Pada sesi kelayakan, saya juga mengalami kemalangan di selekoh keempat.

“Kini saya kembali positif dan mengharapkan keputusan terbaik di Sepang,” katanya.

Semalam Hafizh ditemui pada majlis memperkenalkan barangan jenamanya sendiri iaitu Pescao.

Mengulas mengenai produknya itu, Hafizh berkata ia merangkumi produk berasaskan cenderahati dan pakaian yang boleh didapati menerusi laman web www.pescao55.com atau di kedainya di Petaling Utama.

Pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu berkata, semua produk itu dijual dengan harga berpatutan dan berharap peminatnya dapat membeli koleksi jenamanya itu.

Pescao dalam bahasa Sepanyol bermaksud ‘ikan kecil’ yang menjadi nama gelaran Hafizh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 9:08 AM