BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pemandu teksi yang menumbuk anggota polis trafik ketika diminta memberi kad pengenalan untuk pemeriksaan, didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Umzarul An-Nur Umar menjatuhkan hukuman itu terhadap T Jayaganesan, 38, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja menumbuk muka Muhammad Farizal Azrie Mohd Fudzi, 26, penjawat awam yang melakukan tugasnya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Pahang, di sini, pada 10.10 pagi, 1 Julai lalu, mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika Muhammad Farizal Azrie membuat rondaan dengan menunggang motosikal, tertuduh yang memandu teksi melanggarnya dari belakang sehingga mangsa terjatuh.

Anggota polis itu, yang cedera di lutut serta tangan, bangun dan meminta kad pengenalan serta lesen memandu tertuduh tetapi dia enggan memberi kerjasama sebaliknya menuduh mangsa menyamar sebagai polis sebelum mengeluarkan telefon bimbitnya untuk merakam video mangsa.

Mangsa cuba menghalang dan mahu merampas telefon bimbit tertuduh namun telefon itu terjatuh menyebabkan tertuduh berang lalu menumbuk muka mangsa.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam P.Chandra, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda dengan alasan sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 6:42 PM