Agensi

London: Jessica Ennis-Hill (gambar) berkata, kebimbangan terhadap masalah kecederaan yang mungkin dialami menjadi faktor utama yang mendorongnya mengambil keputusan untuk bersara.

Juara acara heptatlon di Olimpik 2012 dan berusia 30 tahun itu mengumumkan untuk bersara minggu lalu dan mengesahkan bahawa dia tidak akan bertanding di Kejohanan Dunia di London tahun depan.

“Tubuh saya tidak lagi mampu untuk mengimbangi corak latihan seperti dulu,” katanya.

“Sebab itulah saya memutuskan untuk tidak lagi mengambil bahagian kerana risiko untuk saya cedera adalah tinggi. Lebih baik saya bersara sekarang daripada saya bersara selepas cedera dalam mana-mana temasya.”

Juara dunia 2009 dan 2015 itu yang melahirkan anak pertamanya Reggie dua tahun lalu, gagal mempertahankan gelarannya di Olimpik Rio apabila ketinggalan 35 mata di belakang atlet Belgium Nafissatou Thiam.

Ketika itu, Jessica berkata bahawa dia tidak akan terburu-buru untuk menamatkan kariernya.

“Jika anda menyertai acara heptathlon, anda perlu memiliki motivasi 100%, anda perlu sentiasa berlatih kerana jika tidak, anda tidak akan kemana-mana,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 6:22 AM