Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kejadian tanah runtuh di Kilometer 30, Jalan Gua Musang-Felda Aring-Kuala Berang, Hulu Terengganu awal pagi tadi menyebabkan jalan itu ditutup kepada semua lalu lintas.

Kejadian tanah runtuh di Felda Aring, Hulu Terengganu dipercayai berlaku kira-kira jam 1 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Kerja Raya Terengganu Datuk Ir Shafii Mohamad berkata, pihaknya sudah mengarahkan pihak konsesi menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan segera bagi membolehkan laluan itu dibuka seperti biasa.

"Sebaik dimaklumkan kejadian itu, pihak konsesi cuba melakukan kerja pembersihan tetapi gagal berbuat demikian kerana jalan terputus akibat banjir.

"Namun, pagi ini, mereka sudah pun masuk dan sedang menjalankan kerja pembersihan. Setakat ini, laluan masih ditutup dan tidak boleh dilalui.

"Cuaca di lokasi sekarang hujan renyai-renyai dan tiada jalan alternatif di laluan berkenaan. Jadi, kita akan membersihkan kawasan itu secepat mungkin bagi memudahkan pengguna jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 1:14 PM