KENDERAAN terbabit dalam kemalangan di Kilometer 30 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, berhampiran Perkampungan Orang Asli Genting Peras. FOTO ihsan Polis
KENDERAAN terbabit dalam kemalangan di Kilometer 30 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, berhampiran Perkampungan Orang Asli Genting Peras. FOTO ihsan Polis
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Jelebu: Bekas gitaris kumpulan Kristal, Hairyfitri Ahmad, 33, maut dalam kemalangan di Kilometer 30, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, berhampiran Perkampungan Orang Asli Genting Peras, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Othman Basri berkata, mangsa meninggal dunia di Hospital Ampang, dekat sini ketika mendapatkan rawatan.

Katanya, dalam kejadian 11.35 pagi, Hairyfitri menunggang motosikal dari Ampang. Dia berkonvoi bersama beberapa rakan untuk makan roti canai di Kuala Klawang, di sini.

"Dalam kejadian itu, motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Mangsa merempuh kereta di hadapan dan tercampak atas jalan," katanya.

Beliau berkata, Hairyfitri dibawa rakan-rakannya ke Hospital Ampang dan meninggal dunia ketika dirawat.

"Pemandu kereta terbabit iaitu seorang wanita berusia 30-an tidak cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 6:13 PM