London: Tottenham membidas Andre Villas-Boas (gambar) dengan menuduh bekas pengurus itu cuba menukar sejarah selepas beliau mendakwa kelab Liga Perdana itu memungkiri janji mengenai pembelian pemain.

Villas-Boas dipecat Spurs setahun lalu berikutan 18 bulan penuh masalah di White Hart Lane.

Jurulatih Portugis itu mengambil alih kelab Russia, Zenit St Petersburg sejak itu namun beliau masih tidak puas hati dengan cara pemecatannya.

Pengendali berusia 37 tahun itu menegaskan pengerusi Tottenham Daniel Levy mungkir janji mengenai perpindahan dan pembelian pemain di kelab utara London itu.

“Pengerusi mencabar untuk meningkatkan tahap kompetitif Tottenham, namun tidak lama selepas itu (Luka) Modric dijual dan kami tidak mendapat sebarang pemain yang saya sasarkan seperti Joao Moutinho, Willian, Oscar atau Leandro Damiao,” jelas Villas-Boas.

“Ada janji yang tidak ditepati. Saya mempunyai sekelompok pemain yang tidak saya pilih.

“Dalam dua tahun saya hilang (Rafael) van der Vaart, Modric, (Gareth) Bale dan semua janji yang diluahkan tidak ditepati.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:10 AM