Md Khairuddin melancarkan kempen #BankRakyatCares di Menara Kembar Bank Rakyat, semalam.
Md Khairuddin melancarkan kempen #BankRakyatCares di Menara Kembar Bank Rakyat, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Bank Rakyat, bank koperasi Islam terbesar di Malaysia meluluskan pembiayaan RM21 bilion sehingga September lalu iaitu pencapaian 95 peratus daripada sasaran keseluruhan pembiayaannya pada tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Bank Rakyat, Md Khairuddin Arshad berkata, pencapaian itu disumbangkan oleh peningkatan dalam pelbagai produk pembiayaan ditawarkan kepada orang ramai khususnya penjawat awam.

Beliau berkata, pihaknya optimis dengan pengenalan Kempen #BankRakyatCares, institusi perbankan koperasi itu menyasarkan meluluskan tambahan RM5 bilion pembiayaan menjelang suku pertama 2017.

Katanya, ketika merangka konsep kempen #BankRakyatCares itu, pihaknya mengambil kira dan mengenal pasti keperluan perbankan masyarakat yang berbeza-beza.

“Sebagai bank yang berada dalam industri perbankan tempatan selama 62 tahun, kempen ini bertindak sebagai platform membantu pelanggan membuat perancangan serta pilihan kewangan yang baik.

“Bagi keseluruhan pembiayaan ditawarkan kepada orang ramai, tiga produk utama Bank Rakyat adalah pembiayaan peribadi, perumahan dan kenderaan di mana kami yakin ia terus menjadi pilihan kepada masyarakat,” katanya selepas majlis pelancaran Kempen #BankRakyatCares di sini, semalam.

Kempen itu bertujuan mempromosikan produk Bank Rakyat.

Lebih menarik lagi, kempen yang bermula pada 15 Oktober ini hingga 31 Mac 2017 itu menawarkan hadiah bernilai RM1 juta untuk dimenangi pelanggan bertuah.

Dalam perkembangan lain, mengenai harapan Bajet 2017, Md Khairuddin berkata, kerajaan perlu memperkenalkan inisiatif mengurangkan cabaran kewangan yang dihadapi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40).

“Selain itu, lebih banyak dana diharap diperuntukkan buat industri kecil dan sederhana (IKS) supaya dapat menyokong pertumbuhan segmen itu yang menyumbang 80 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 7:21 AM