Kasrin (tengah) ketika berbual dengan pegawai MUI yang menyamar.
Kasrin (tengah) ketika berbual dengan pegawai MUI yang menyamar.

Rembang (Jawa Tengah): Tembelang seorang penarik beca kononnya dia ke Makkah untuk menunaikan haji secara ghaib dengan bantuan jin peliharaannya terbongkar apabila tersilap menceritakan penipuannya kepada pegawai Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang menyamar.

Pegawai MUI Rembang diketuai Zainudin Jafar bersama dua ahli jawatan kuasa ke rumah lelaki berkenaan, Kasrin, di Dukuh Gembul, Desa Sumberrejo, Kecamatan Pancur, hujung minggu lalu.

Jawa Pos portal berita Indonesia melaporkan, Zainudin berkata, mereka menyamar sebagai tetamu dan bertanya kepada Kasrin, 60, mengenai pelaksanaan hajinya, rukun serta keadaan di Makkah.

“Semua jawapan Kasrin meragukan dan dia juga tidak tahu rukun haji serta mendakwa tidak melihat Kaabah.

“Kami kemudian memperkenalkan diri dan menasihati Kasrin supaya tidak menimbulkan keraguan kepada orang ramai,” katanya.

Menurutnya, Kasrin terkejut apabila mengetahui mereka dari MUI

Penarik beca itu mendapat gelaran `Haji Mistik’ selepas dia hilang beberapa minggu sebelum muncul bersama rombongan penduduk yang pulang daripada mengerjakan haji.

Kisah Kasrin yang mendakwa dia ke Makkah mengerjakan haji secara ghaib dengan bantuan jin menaiki becanya, mendapat liputan meluas menyebabkan orang ramai tidak putus-putus datang untuk mendengar ceritanya malah ada yang memintanya berdoa disembuhkan penyakit serta diberi kebahagiaan hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 7:46 PM