AKTIVITI memasak menguji kebolehan, kekuatan dan kesan terapi sebelum ini.
AKTIVITI memasak menguji kebolehan, kekuatan dan kesan terapi sebelum ini.
AKTIVITI kraf turut digunakan sebagai terapi akhir kepada pesakit.
AKTIVITI kraf turut digunakan sebagai terapi akhir kepada pesakit.
AKTIVITI kraf turut digunakan sebagai terapi akhir kepada pesakit.
AKTIVITI kraf turut digunakan sebagai terapi akhir kepada pesakit.
Hajahfarhana Tarmudi


Masing-masing berusaha menyiapkan tugasan diberi. Ada kumpulan yang membuat aktiviti kraf dan tidak kurang juga yang mengambil peluang menyertai aktiviti memasak.

Kehadiran 11 pesakit terdiri daripada pesakit artritis (sendi), strok dan kecederaan (kepala) dalam lingkungan usia 40 hingga 60 tahun ke atas memeriahkan suasana dalam program sesi akhir terapi yang dijalankan di Unit Terapi Cara Kerja Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM PPUKM), baru-baru ini.

Bersemangat tinggi dan yakin di samping sokongan ahli keluarga menguatkan keinginan pesakit ini untuk pulih daripada kesakitan. Setidak-tidaknya, mereka mampu mengurus diri sendiri sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada penjaga mereka terutama ahli keluarga.

Ketua Unit Terapi Cara Kerja HCTM PPUKM Rohana Mukahar berkata, program terapi cara kerja diberikan kepada pesakit yang mempunyai masalah pergerakan dan kefungsian selepas strok atau kecederaan kepala.

“Kebiasaannya, proses atau medium terakhir yang dilakukan dalam latihan berkenaan adalah dengan melakukan aktiviti kraf atau memasak.

“Ini kerana dua aktiviti berkenaan menggunakan daya pemikiran, pergerakan tangan seperti menyusun (kraf) dan aktiviti ini dapat memberi kebebasan kepada pesakit untuk menghasilkan kerja tangan masing-masing,” katanya.

Ujarnya, pesakit dewasa yang mengalami masalah penyakit sendi, kaki dipotong kerana kencing manis, kecederaan tulang belakang, kecederaan otak atau strok perlu menjalani terapi cara kerja untuk mengembalikan kebolehan mereka menguruskan diri sendiri.

Kebiasaannya, aktiviti kraf atau memasak diberikan kepada pesakit yang sudah menjalani terapi dalam tempoh lebih daripada setahun untuk menguji kebolehan mereka selepas menjalani beberapa sesi terapi cara kerja.

Aktiviti sesi akhir ini dilakukan selepas pesakit melalui latihan membabitkan latihan tangan dan meningkatkan kekuatan otot masing-masing.

Ia bagi melihat sejauh mana kebolehan pesakit untuk melakukan aktiviti harian seperti memasak selepas melalui beberapa sesi terapi cara kerja bagi meningkatkan kekuatan dan kefungsian tangan.

“Saya akui, aktiviti seperti ini memberi keseronokan kepada pesakit dan pada masa sama dapat membantu mereka melupakan seketika kesakitan yang dialami.

“Biarpun setiap terapi dijalankan mengikut keupayaan pesakit, mereka juga perlu mempunyai motivasi yang tinggi untuk pulih. Bukan itu saja, penjaga terutama isteri atau suami dan anak perlu kuat menghadapi kesulitan yang dihadapi untuk membantu pesakit kembali pulih,” katanya.

Ujarnya, memang diakui ada sesetengah pesakit akan mengalami kemurungan dan berasa putus asa selepas menghidap penyakit tertentu, namun penjaga perlu sentiasa menyokong mereka.

Jika kurang berkemampuan, mereka boleh membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan peralatan dan sebagainya yang diperlukan pesakit di Jabatan Kerja Sosial Perubatan di hospital berkenaan.

Rohana yang mempunyai pengalaman mengendalikan pesakit sejak tahun 1997 menambah, dia menemui pelbagai ragam dan keadaan kesihatan pesakit sepanjang perkhidmatan.

Kebiasaannya, sesi terapi yang dijalani oleh pesakit dinilai secara berkala dan kekerapan terapi susulan untuk mereka melakukannya juga ditentukan berdasarkan perkembangan mereka.

“Penilaian aktiviti harian dilihat menerusi aktiviti dilakukan iaitu kemahiran atau kebolehan pesakit untuk mengurus diri. Pada masa sama, pesakit juga akan dinilai dari segi kebolehan mereka menggunakan peralatan dalam aktiviti harian seperti memasak, mengemas rumah dan mengurus kewangan.

“Bagi saya, program sesi akhir terapi ini bukan bermakna kami perlu melupakan terus pesakit tetapi bercadang memanggil mereka untuk program atau aktiviti tertentu sebagai sokongan berterusan.

“Ia sebagai salah satu usaha memberi motivasi kepada pesakit lain yang masih bertarung untuk pulih daripada penyakit,” katanya.

Nasihatnya kepada individu yang belum menghidap penyakit kronik sebaik-baiknya segera jalani pemeriksaan secara berkala.

Jika sudah disahkan menghidap penyakit tertentu, ikut nasihat doktor dengan mengambil ubatan yang diberikan mengikut dos dan peraturan yang ditetapkan.

Selain mengawal pemakanan, tidak lupa juga untuk kawal tekanan yang boleh mencetuskan pelbagai penyakit kronik.

Tetap aktif bergerak

Zaiton Mohd Yusoff, 68, ketika mudanya tidak menghadapi masalah kesihatan. Namun, menginjak ke usia 40-an, dia mula berasakan ada sesuatu yang tidak kena pada tubuhnya.

Biarpun pada mulanya masalah lenguh badan dan sakit sendi dianggap keadaan biasa bagi wanita yang menghampiri pramenopaus, apabila masalah dialami berterusan ia mencetus kebimbangan kepada dirinya.

“Pada mulanya, saya rasa lenguh, sakit sendi dan cepat penat biarpun ketika itu tidak melakukan kerja berat. Apabila merujuk kepada doktor, saya diberitahu kemungkinan ia hanya gejala biasa kepada wanita yang menghampiri menopaus.

“Namun, lama-kelamaan gejala yang dialami berlanjutan dan ia sekali gus memberi rasa tidak selesa kepada badan terutama apabila waktu bekerja,” katanya.

Ujarnya, ketika itu dia masih bertugas sebagai pembantu tadbir dan sangat bersyukur dengan bekerja sekurang-kurangnya Zaiton dapat melupakan sedikit kesakitan yang dialami.

Namun, apabila masalah itu memberi ketidakselesaan kepada badan, dia kemudian dirujuk kepada pakar sakit puan pada tahun 2000. Selama dua tahun dia disarankan untuk menjalani Terapi Gantian Hormon Estrogen (HRT) bagi membantu mengatasi masalahnya.

Peliknya, masalah lenguh badan dan sakit sendi yang dialami pada waktu tidak menentu itu masih berterusan.

Ada kalanya, dia kerap mengalami sakit di bahagian jari dan kaki selain lenguh pada keseluruhan badan. Kebiasaannya, bahagian yang paling sakit dirasai ialah di jari dan tengkuk.

Pada 2004, dia kemudian dirujuk ke bahagian ortopedik. Selepas mengenal pasti gejala dan menjalani pemeriksaan, dia disahkan menghidap masalah Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

SLE ialah masalah penyakit auto imun kronik yang tidak boleh diubati. Ia berlaku apabila badan menghasilkan jumlah antibodi yang banyak sehingga memberi tindak balas kepada tisu seseorang dan ia selalunya dihidapi kaum wanita.

“Setiap hari memang terasa sakit, bezanya antara masih mampu bertahan atau tidak kerana terlalu sakit. Sejak mengetahui menghidap penyakit berkenaan, saya melakukan terapi untuk membantu memulihkan atau mengurangkan rasa sakit.

“Biarpun hingga ke hari ini sakit sendi masih ada, sedikit sebanyak latihan terapi membantu saya mengubah pemikiran untuk menjadi lebih kuat dan positif dalam menghadapi kesakitan ini,” katanya.

Ujarnya, kesakitan dialami tidak terhenti di situ kerana pada 2006, dia disahkan menghidap artritis yang menambah rasa sakit berbanding sebelum ini.

Justeru, dia tetap aktif bergerak biarpun ada kalanya berasa sakit. Pada masa sama, terdapat beberapa jenis makanan yang terpaksa dielakkan seperti makanan berusurkan kekacang untuk mengelakkan sakit bertambah teruk.

Serangan strok

Bagi Norulkhairi Sabarudin, 57, dia tidak pernah menyangka akan menghadapi situasi mencemaskan apabila suaminya, Mohd Sued Saad diserang strok secara tiba-tiba.

“Ketika itu, suami saya berusia 56 tahun dan memang dia mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis dan kolesterol. Serangan strok berlaku selepas dia pulang daripada mengurut. Ketika itu, dia sedang baring dan tiba-tiba mengadu tidak boleh bergerak.

“Malah, percakapannya juga tidak jelas menyebabkan saya panik dan terus menelefon ambulans,” katanya.

Ujarnya, serangan strok yang menimpa suaminya berlaku disebabkan masalah kolesterol yang tinggi dalam darah.

Disebabkan tidak sedarkan diri, suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama seminggu. Perkara paling menyedihkan hati wanitanya apabila doktor memberitahu kepadanya kebarangkalian suaminya untuk hidup hanya 50 peratus.

Ketika itu mereka berada di Pulau Pinang kerana urusan tugasan dan doktor menyarannya untuk memanggil semua ahli keluarga kerana keadaan suaminya yang kritikal.

Akhirnya, mereka mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur selepas tamat kontrak tugasan suaminya di sana. Namun, tanpa siapa menduga usia suaminya dipanjangkan hingga ke hari ini dan paling menggembirakan hati apabila dia turut menunjukkan perkembangan yang positif selepas menjalani terapi.

“Awalnya, setiap minggu suami melakukan fisioterapi di sini dan kekerapan berkenaan dikurangkan selepas dinilai oleh pakar. Suami mengalami strok di sebelah kanan dan dalam tempoh enam bulan membuat latihan terapi saya dapat lihat perubahan besar pada dirinya.

“Suami mampu bercakap dan berjalan. Kini, selepas enam tahun mengikuti latihan terapi, suami sudah boleh berjalan sendiri tanpa bantuan tongkat,” katanya.

Ujarnya, sebagai isteri dan penjaga kepada suaminya, dia perlu kuat dan bersemangat di samping menjaga kesihatan sendiri untuk membantu memulihkan kesakitan yang dialami.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 12:59 PM