SUASANA natural dan desa diilhamkan sebaik mungkin.
SUASANA natural dan desa diilhamkan sebaik mungkin.
BONGKAH kayu disusun pada sudut tertentu.
BONGKAH kayu disusun pada sudut tertentu.
TEMPAYAN menjadi simbolik meraikan tetamu.
TEMPAYAN menjadi simbolik meraikan tetamu.
LANDSKAP yang dekat dengan alam.
LANDSKAP yang dekat dengan alam.
Hartini Mohd Nawi


Sibuk dengan kerja membabitkan penghasilan produk seni rimba banyak memberi kesempatan kepada pencinta keindahan ini untuk berada di kawasan laman.

Dari proses awal termasuk pengasingan bahan mentah, pengawetan hingga pengeringan, semuanya dilakukan di situ.

Apatah lagi, kawasan lapang yang dilitupi hamparan rumput menghijau sangat membantu terutama proses pengeringan seperti buah pinang puteri, hirisan limau dan kulit kacang.

Kesinambungan itulah membuatkan landskap yang terbina di kediaman Fauzi Abd Majid, 44, lebih natural atau dekat dengan alam.

Semua elemen daripada tanaman hingga hiasan di kediaman pemilik bersama Attitude Planet Art (Apa) ini begitu dekat dengan keindahan semula jadi.

“Landskap yang ada pada hari ini bukan dirancang reka bentuknya. Ia terbentuk secara tidak sengaja apabila sebahagian laman digunakan untuk kerja memproses bahan mentah produk seni rimba yang saya hasilkan.

“Namun, landskap yang tidak dirancang inilah yang banyak memberikan sumber inspirasi kepada saya sepanjang masa.

“Ia sesuatu yang menggembirakan apabila tetamu teruja dengan idea semula jadi ini. Saya sangat hargai,” katanya yang sudah terbabit dengan dunia seni rimba kira-kira 18 tahun lalu.

Meninjau landskap sejuk mata memandang itu, di sudut mana pun, rumput hijau tumbuh subur turut memberikan keselesaan saat melangkah ke bengkel seni rimbanya yang terletak bersebelahan.

Di bahagian depan rumah, ruang meletak kereta terasa redup dan menyamankan apabila pelbagai jenis pokok hijau di taman sudut kiri dan kanannya.

Juraian tanaman dari tempurung kelapa terbuang digantung menambahkan suasana natural lebih-lebih lagi ketika angin petang.

Tempayan yang berisi air dan gayung tempurung berhulu kayu bukan sekadar melengkapkan penataan laman desa, malah mengembalikan nostalgia kediaman masyarakat Melayu dulu-dulu.

Dulu, tidak sempurna kediaman tanpa kehadiran tempayan dan gayung untuk membasuh kaki sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.

“Sesuai dengan persekitaran hari ini, elemen itu bukan hanya membawa kita ke zaman silam malah menjadi simbolik menghargai kunjungan tetamu dan membuktikan masyarakat kita masih kaya adat serta budaya.

“Pokok-pokok pula ada yang saya tanam dalam pasu bagi memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pengubah suaian reka letak jika jemu,” katanya ketika temu bual di kediamannya di Batu 18, Hulu Langat itu, baru-baru ini.

Bagi membawa gambaran suasana mesra alam, pelbagai barangan terbuang menjadi elemen penting landskap kediaman itu.

Begitu juga dengan bongkah kayu dan batuan sungai yang menyerikan sudut tertentu.

“Kreativiti membantu kita untuk lebih dekat dengan alam tanpa perlu mengeluarkan belanja besar,” katanya yang mesra di sapa Benji.

Lebih menarik, beliau pernah menanam bunga ros Jepun sebagai variasi landskap berbeza daripada biasa.

“Pernah juga laman ini dihiasi dengan deretan bunga ros Jepun dan ia memberikan pemandangan menarik.

“Sebaik pagi pelbagai warna bunga ros Jepun yang berkembang membuatkan suasana harmoni dan menenangkan,” katanya yang tidak menafikan keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan tanaman itu tidak bertahan lama.

Enggan terlalu teruja dengan penataan landskap desa, Fauzi sangat berhati-hati dalam setiap reka letak tanaman dan elemen hiasan laman.

“Ini kerana hampir keseluruhan laman ini digunakan untuk kerja-kerja awal produk kraf saya,” katanya yang turut menghiasi ruang bengkel dengan idea dekorasi menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:03 AM