Kuala Lumpur: "Sebelum ini Salleh buat latihan dengan kami seperti biasa di studio milik Yasin di Kota Damansara sebagai persediaan konsert Tiga Kejora Bersatu yang akan berlangsung di Istana Budaya pada malam esok (Jumaat),” kata anggota Brothers, Faiz Mohamed, 39.
Dia menyatakan perkara itu selepas salah seorang anggota kumpulan, Mohd Salleh Mohamed Deril meninggal dunia jam 3.25 petang tadi.
Mohd Salleh, 40, meninggal dunia akibat masalah jantung dan darah tinggi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Faiz berkata, Salleh nampak kepenatan ketika latihan vokal namun tetap memberikan komitmen sehingga Sabtu lalu.
“Ahad pula kami berehat kerana keesokannya (Isnin) latihan mula dibuat di Istana Budaya. Tidak sangka pada Maghrib Ahad dia mengadu sakit sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Klang,” kata Faiz.
Selain Allahyarham Salleh dan Faiz, Brothers turut dianggotai Yasin Sulaiman, 41, dan Syahrizal Mohamad, 39.
Faiz berkata, sebelum ini Allahyarham pernah mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh berikutan ada masalah jangkitan paru-paru.
"Terbaru doktor mengesahkan jantung Salleh bengkak dan ada darah tinggi,” katanya.
Salleh meninggalkan tiga anak perempuan dan seorang balu, Shalwiza Eza'an.
Jenazah Salleh dibawa pulang ke Kampung Sri Tiram Jaya, Tanjung Karang, Selangor dan akan dikebumikan jam 9 pagi esok.
Mengulas pembabitan Brothers dalam konsert turut menampilkan Rabbani dan Hijjaz, Faiz berkata, mereka belum membuat keputusan muktamad.
"Tumpuan kami sekarang enyempurnakan pengebumian jenazah Salleh. Kalau ikutkan kami serba salah kerana Allahyarham baru meninggal.
"Kalau kami teruskan persembahan takut nanti menjadi isu pula. Kami akan mengadakan perbincangan lanjut dengan penganjur kerana tanpa Brothers, konsert itu masih menampilkan Rabbani dan Hijjaz," katanya.
Gandingan Salleh bersama Brothers menghasilkan lima album iaitu We Are pada 1997, Satu Perjuangan (1998), Untukmu Teman (2000), Brothers Reunited (2005) dan Sabar (2015).