Rambut mahkota wanita. Pepatah ini sering ditujukan kepada wanita tetapi apabila rambut sering gugur, bercabang atau berkelemumur sudah tentu tidak menyenangkan.

Secara lazimnya, rambut gugur dalam 50 ke 100 helai setiap hari namun bagi wanita yang baru melahirkan anak, disebabkan perubahan hormon keguguran rambut menjadi masalah lebih serius.

Penggunaan syampu yang tidak sesuai menjadi punca rambut gugur secara berlebihan. Namun terdapat beberapa panduan yang boleh diikuti bagi mengurangkan masalah ini. Selain menggunakan syampu dan perapi, bahan tradisional di dapur sangat berkesan untuk mengatasi masalah rambut gugur.

1. Kacang hijau

Ramai mengakui kacang hijau bagus untuk kulit, namun bahan yang sering digunakan dalam masakan ini juga elok untuk merawat rambut.

Caranya mudah saja, rendam kacang hijau semalaman, tapis kacang hijau dan ambil airnya. Air kacang hijau bagus untuk merawat rambut gugur oleh itu, sapu ke seluruh kulit kepala dan urut perlahan. Amalkan tiga kali seminggu untuk kesan optimum.

2. Santan kelapa

Selain digunakan dalam masakan, masyarakat dahulu menggunakan santan kelapa secara tradisi untuk menghitam, melebat dan mengelak rambut gugur.

Caranya ambil santan pekat, kemudian sapu ke seluruh kulit kepala dan rambut, urut perlahan dan biarkan seketika. Kemudian basuh semula. Amalkan dua kali seminggu dan lihat hasilnya.

3. Minyak lavender

Haruman yang digunakan untuk menenangkan ini juga bagus untuk rambut rosak. Sapukan minyak lavender pada rambut dan urut bahagian kulit kepala secara perlahan.

Amalkan sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Minyak lavender akan membantu menggalakkan pertumbuhan rambut dan mengurangkan rambut gugur.

4. Minyak kelapa dan zaitun

Ramai tidak tahu keberkesanan minyak kelapa dan zaitun kerana kedua-duanya mempunyai kebaikan tersendiri. Untuk mengatasi rambut gugur, anda perlu campurkan satu sudu minyak zaitun dan satu sudu minyak kelapa.

Sapukan ke seluruh bahagian rambut bermula dari kulit kepala. Urut kulit kepala perlahan kemudian tutup dengan plastik penutup rambut biarkan selama dua jam kemudian basuh rambut seperti biasa.

5. Makan makanan tinggi protein

Makanan tinggi protein sangat bagus untuk pertumbuhan rambut agar lebat, subur dan mengatasi masalah keguguran rambut. Makanan seperti ikan, ayam, telur, tauhu, tempe bukan saja melebatkan rambut tetapi mengelak kerosakan seperti rambut gugur dan bercabang.

6. Dadih

Selain diamalkan sebagai makanan diet harian, dadih berfungsi mengatasi masalah rambut gugur dan rosak. Anda hanya perlu melumurkan ke seluruh bahagian rambut. Biarkan selama satu jam sebelum anda membasuh rambut. Amalkan sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 5:21 AM