Syafil Syazwan Jefri


Kerap disiarkan di radio, Polaroid kini membawa nama Sakura Band ke satu tahap baru sekali gus memperkenalkan nama mereka kepada peminat muzik tanah air.

Di YouTube, video muzik lirik Polaroid saja sudah mencecah hampir 1.5 juta tontonan sejak mula dimuat naik pertengahan Jun lalu dan sebagai band yang baru meningkat naik, itu pencapaian membanggakan.

Judulnya tidak merumuskan keseluruhan lagu tetapi kalau disebut saja polaroid, dalam fikiran terus membayangkan kamera yang boleh terus mencetak gambar.

Bersesuaian dengan minat generasi baru yang gemar bergambar dan memuat naik ke laman Instagram, itu juga sebenarnya mencerminkan jiwa remaja yang penuh keseronokan.

Setiap kali lagu itu dimainkan di radio, timbul rasa kegembiraan dan aura positif yang dibawakan Sakura kepada pendengar. Kalau diamati liriknya, pendengar akan dibawa bersama Sakura Band menjalani kehidupan berkisar persabahatan, masa kualiti bersama dan aktiviti yang kena dengan jiwa mereka.

Dalam lagu berdurasi tiga minit 45 saat ini juga sekali gus memberitahu pendengar semua memori itu boleh disimpan dalam bentuk polaroid atau gambar. Lebih menarik lagi, Polaroid juga menyelitkan beberapa perkataan dalam bahasa Inggeris, sekali gus menjadi lagu yang sangat santai.

Bagi Sakura Band yang dianggotai Mell, Ali, Haniff dan Akai, mereka mengakui Polaroid yang bergenre ‘pop dance’ itu memperjelaskan identiti muzik mereka.

“Lagu ini hasil ciptaan kami sepenuhnya dan mempamerkan identiti muzik yang kami bawakan iaitu ‘pop dance’. Terima kasih kepada pendengar dan peminat yang memberikan respons positif untuk lagu ini,” kata Mell.

Ditanya mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam lirik, ada sesetengah pihak yang menganggap mereka menggunakan bahasa rojak.

“Ada yang menganggap kami menggunakan bahasa rojak. Itu pendapat masing-masing kerana untuk Sakura Band, kami rasa itu disesuaikan dengan konsep lagu yang ‘catchy’,” katanya.

Bagaimanapun, tentunya peminat Sakura Band menantikan buah tangan terbaru mereka yang khabarnya akan menampilkan konsep sama.

INFO

- Lagu: Polaroid

- Penyanyi: Sakura Band

- Komposer & penulis lirik: Sakura Band

- Label: Puteh Entertainment

- Edaran: Indigital Sdn Bhd

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 12:18 PM