ORANG awam terutama pesakit diabetes dididik mengenai pengurusan gula dalam darah yang baik.
ORANG awam terutama pesakit diabetes dididik mengenai pengurusan gula dalam darah yang baik.
Faizatul Farlin Farush Khan


Kita sering mendengar mengenai kepentingan bersarapan, namun apakah sebenarnya manfaat dan apakah yang akan berlaku jika kita sering membiarkan perut kosong sehingga masa menginjak ke tengah hari?

Biarpun sudah ramai terutama pegawai perubatan memperkatakan mengenai betapa pentingnya bersarapan, masih ramai yang mempunyai 1,001 alasan apabila sering terlepas hidangan pertama setiap hari itu.

Menyedari hakikat itu, Nestle Health Science (NHS), melalui jenama Nutren Untuk Diabetik baru-baru ini, mengambil inisiatif menganjurkan siri jelajah selama tiga bulan bagi memperkasa dan mendidik orang awam khususnya pesakit diabetes mengenai kepentingan bersarapan.

Siri jelajah Healthy Diabetes Living Starts with Breakfast itu mendidik mengenai pengurusan diabetes yang betul dan diadakan di hospital utama sekitar Lembah Klang, Ipoh, Pulau Pinang dan Johor.

Ia membuka minda dan memberi pengetahuan kepada orang awam untuk mempelajari cara betul mencegah dan menguruskan penyakit diabetes melalui permainan interaktif di hospital yang mengambil bahagian.

Malah, penghidap diabetes yang hadir akan disajikan hidangan sarapan yang sihat, disediakan khas olah kakitangan katering hospital yang memaparkan resipi daripada buku Simply Delicious dari Nutren Untuk Diabetik.

Pengurus Perniagaan Negara NHS Emilyn Loo berkata, dengan cara mendekati pesakit dan orang awam, didapati kebimbangan utama mereka adalah berkaitan pemilihan makanan dan saiz hidangan yang sesuai.

Pengetahuan itu penting kerana ia dapat memastikan kandungan gula dalam darah boleh diurus dengan penuh yakin.

“Bagi pesakit diabetes, paras gula paling tinggi pada waktu pagi. Oleh itu, sarapan sihat amat penting setiap hari untuk menstabilkan gula dalam darah,” katanya.

Sebahagian inisiatif yang dijalankan itu, seramai 694 responden diminta melengkapkan borang kaji selidik mengenai kecenderungan bersarapan mereka.

Daripada jumlah itu, 79 peratus tidak memahami istilah Indeks Glisemia (GI) iaitu skala pemeringkatan kelajuan jenis makanan berbeza menguraikan karbohidrat menjadi gula dalam tubuh.

Makanan yang mengandungi GI tinggi akan meningkatkan gula dalam darah dengan cepat, manakala GI rendah mempunyai kadar peningkatan gula lebih stabil.

Nutren Untuk Diabetik ialah nutrisi lengkap untuk pesakit diabetes dan hanya mempunyai nilai GI 28 serta mampu dijadikan makanan gantian sarapan untuk membantu menguruskan paras gula.

Siri jelajah itu adalah lanjutan kempen Together We Take Charge yang dilancarkan NHS pada November tahun lalu sempena Hari Diabetes Sedunia dengan kerjasama Diabetes Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 11:16 AM