ANTARA haiwan dirampas PERHILITAN dalam serbuan di dua rumah di Majidee, semalam. FOTO ihsan PERHILITAN
ANTARA haiwan dirampas PERHILITAN dalam serbuan di dua rumah di Majidee, semalam. FOTO ihsan PERHILITAN
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negera (PERHILITAN) menyerbu dua rumah milik sebuah keluarga selepas dikesan menjadikan peremis itu sebagai stor menyimpan hidupan liar untuk dijual secara dalam talian bernilai RM20,000 di Majidee di sini, semalam.

Pengarah Jabatan PERHILITAN negeri, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, kegiatan keluarga berkenaan terbongkar hasil risikan Unit Penguatkuasaan PERHILITAN negeri dan Kuala Lumpur sejak dua bulan lalu sebelum berjaya mengenalpasti rangkaian serta aktiviti dijalankan.

Menurutnya, berdasarkan risikan itu, dua buah rumah dijadikan sebagai stor bagi penyimpanan hidupan liar untuk jualan secara dalam talian yang beroperasi selama enam bulan sebelum gerakan menyerbu premis dilakukan.

"Dalam serbuan 4 petang itu, sekeluarga yang mendiami rumah di kawasan Majidee tergamam apabila didatangi anggota penguatkuasaan jabatan yang memperkenalkan diri seterusnya menjalankan pemeriksaan ke atas rumah itu.

"Hasil pemeriksaan di kedua-dua rumah itu mendapati sejumlah hidupan liar dari spesies reptilia dan mamalia ditempatkan di dalam rumah itu," katanya dalam kenyataan media di sini.

Katanya, didapati semua hidupan liar itu tidak mempunyai sebarang dokumen dan pemilikan yang sah oleh pihak jabatan.

"Antara spesies yang dirampas membabitkan spesies dalam dan luar negara iaitu 11 ekor disyaki biawak air, dua ekor disyaki spesies argentine tegu.

"Turut ditemui, tujuh biji telur disyaki biawak air, seekor disyaki ular kapak, tiga ekor disyaki ular sawa batik,seekor disyaki anak musang, tiga ekor disyaki iguana, dua ekor disyaki ular 'ball phyton' dengan nilai rampasan dianggarkan RM20,000," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan bagi setiap pertuduhan sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 12:46 PM