Kata orang tua-tua, sebab pulut santan binasa. Jadi faham-fahamlah kesudahan pantun dua kerat itu yang ditujukan kepada mulut manusia jenis tak ada insurans, celupar dan bercakap dengan nada bongkak.

Begitulah khabarnya yang terjadi kepada pengurus artis terkenal ini yang mendapat 'hukum karma' baru-baru ini.

Sebelum ini dia begitu riak bercakap soal kehebatan artisnya yang dianggap dahsyat.

Bagi SS sikap sebegitu sangat mengejutkan sebab selama ini SS tahu asal-usul diri pengurus itu dan artis yang diuruskannya. Dulu mereka nak pakai fesyen berjenama pertengahan pun fikir 100 kali.

Apabila sudah terkenal sikit, mereka mula 'demand' ke tahap 'gaban' hingga ramai pihak dalam dunia hiburan terkedu dengan perangai mereka.

Kesannya ketika muncul dalam satu majlis baru-baru ini kawan SS cakap semua orang buat tidak peduli kepada pengurus itu dan artisnya. Mereka nampak macam kera sumbang dan orang pun tidak layan mereka yang semakin berangan itu.

Bagi SS itu sebagai peringatan kepada golongan seumpama itu yang mencari rezeki di mata masyarakat. Jangan ingat sampai bila-bila pun mereka boleh tongkat langit kerana semua ini hanya pinjaman semata.

SS: Teringat segala kebaikan Allahyarham Datuk Mustapha Maarof dan Datuk Aziz Sattar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:05 AM