PENG Soon (kiri), Liu Ying mara separuh akhit Terbuka Jepun minggu lalu.
PENG Soon (kiri), Liu Ying mara separuh akhit Terbuka Jepun minggu lalu.

Kuala Lumpur: Lakukan perkara sama di Terbuka Korea. Nasihat itu diberikan jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui kepada Chan Peng Soon-Goh Liu Ying selepas mara ke separuh akhir Terbuka Jepun minggu lalu.

Menurutnya, beliau berpuas hati dengan prestasi dipamerkan pemenang perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu walaupun persiapan sebelum ini terganggu dengan pelbagai majlis penyerahan insentif.

“Mereka tidak mempunyai masa panjang untuk berlatih, jadi mara ke separuh akhir di Jepun minggu lalu sudah cukup bagus, tapi ia (kurang latihan) tetap tidak boleh dijadikan alasan,” katanya ketika ditemui media di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, di Terbuka Korea Selatan (yang bermula semalam) beliau mahu Peng Soon-Liu Ying melakukan perkara sama dengan memberikan permainan terbaik.

“Berdasarkan undian di Terbuka Korea Selatan memang ia sangat bagus buat mereka, apabila mendapat bye di pusingan pertama (hari ini) dan akan bertemu pasangan Korea Selatan, Kim Duk Young-Kim Hye Rin di pusingan kedua (esok).

“Saya rasa tidak ada masalah untuk mereka mara sehingga ke suku akhir. Tapi saya mahu mereka mara lebih jauh,” katanya.

Dalam masa sama, Eei Hui juga mengharapkan anak buahnya mampu menjuarai sekurang-kurangnya satu kejuaraan Siri Super selepas ini kerana mereka pernah melakukannya di Terbuka Jepun pada 2012.

Sementara itu, pemain negara yang akan membuat penampilan di pusingan pertama Terbuka Korea Selatan hari ini ialah perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin bertemu Ng Ka Long (Hong Kong) dan Goh Soon Huat berdepan Hans Kristian Vittinghus (Denmark).

Pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pula akan berentap dengan Chen Hung Ling-Wang Chi Lin (Taiwan) dan gandingan beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei menentang Go Ah Ra-Kim Hyang Im (Korea Selatan).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 8:59 AM