SEGENAP ruang sarat dengan warna merah jambu.
SEGENAP ruang sarat dengan warna merah jambu.

Obses dengan watak kartun animasi Hello Kitty mendorong wanita ini menampilkan kelainan pada bilik tidur kediamannya.

Malah, pemilik nama Ezrawati Abu Samah, 33, ini turut dikenali sebagai Cik Kitty.

Kini beliau turut mengumpul kira-kira 300 anak patung Hello Kitty berlainan jenis dan saiz yang ditempatkan sebagai penyeri dekorasi bilik tidur rumahnya di Rawang, Selangor.

“Setiap sudut bilik tidur dihiasi dengan watak kartun ini dan turut diselit dengan koleksi anak patung berbeza saiz yang dibeli dengan harga antara RM10 hingga RM400 bergantung pada saiz.

“Tilam, alas cadar, bantal, selimut dan hiasan dinding, semuanya bertemakan watak Hello Kitty.

“Begitu juga pakaian, set pinggan mangkuk dan cawan bertemakan watak kartun berkenaan,” katanya.

Menurut Ezrawati, dekorasi bilik tidur itu dijelmakannya berpandukan laman sesawang yang mempamerkan individu dari luar negara yang menggilai watak ini dengan menata hias kediaman mereka.

“Melihat ‘kegilaan’ mereka mendekorasi setiap sudut dalaman rumah dengan watak ini membuatkan saya meniru konsep yang ditampilkan.

“Biarpun ramai yang beranggapan saya ‘gila’ berikutan terlalu obses dengan watak ini, bagi saya ini seni dan hanya sesetengah individu dapat menilai apa yang saya ketengahkan.

“Biarpun sudah membelanjakan lebih RM20,000, saya tidak pernah menyesal, sebaliknya timbul rasa kepuasan melihat hasil kerja sendiri turut mendapat perhatian orang lain,” katanya yang mula menghiasi bilik tidurnya sejak tahun 2011.

Lebih menarik, kerani di syarikat swasta ini turut memberikan sentuhan Hello Kitty pada kereta Perodua Kancil miliknya.

Bukan saja bahagian luaran kereta, malah setiap sudut dalaman jentera itu turut diubahsuai dengan watak kartun berkenaan.

Pada masa sama dia turut menghiasi motosikal dan mempunyai pakaian serta beg Hello Kitty. - Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 5:04 AM