GAMBAR hiasan, burung merpati. - AP
GAMBAR hiasan, burung merpati. - AP
Agensi

Auckland: Kajian dijalankan di New Zealand menunjukkan burung merpati boleh diajar membaca, malah dilaporkan mampu mengenal pasti perkataan sama seperti manusia dan monyet.

Kajian saintis di Universiti Otago, New Zealand, menggunakan 18 merpati yang kemudian disenaraipendekkan kepada empat yang paling bijak menggunakan kaedah dikenali sebagai ‘pembentukan kendiri’ - proses yang menggunakan lampu suluh untuk menarik merpati itu kepada makanan.

Latihan itu diulang sehingga burung berkenaan faham ia akan dapat makan setiap kali ada isyarat lampu.

Kaedah itu kemudian diubah dengan menggunakan perkataan untuk menggantikan isyarat lampu.

Seorang saintis yang terbabit dengan kajian itu berkata: “Apabila perkataan dipaparkan, tindak balas yang dicari adalah untuk merpati berkenaan mematuk perkataan berkenaan. Sebaliknya, apabila imej bukan perkataan dipaparkan, tindak balas dicari adalah supaya merpati itu mematuk ikon bintang berhampiran.

“Setiap kali mampu mengenal pasti perkataan atau imej bukan perkataan dengan betul, burung berkenaan diberi makan sebagai ganjaran.”

Katanya, merpati terbabit dilatih selama lebih lapan bulan dengan empat yang paling bijak berjaya belajar sehingga 43 perkataan.

Hasil kajian diterbitkan dalam Proceedings of the National Academy of Sciences. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 8:10 AM