GAMBAR menunjukkan banjir di kawasan kediaman di wilayah Miyazaki, selatan Jepun selepas ia dibadai Taufan Malakas.
GAMBAR menunjukkan banjir di kawasan kediaman di wilayah Miyazaki, selatan Jepun selepas ia dibadai Taufan Malakas.
Reuters

Tokyo: Taufan kencang melanda selatan Jepun semalam membawa hujan lebat yang mengakibatkan banjir dan penerbangan dibatalkan selain memaksa pihak berkuasa menasihatkan lebih 600,000 penduduk berpindah.

Taufan Malakas dijangka menghala ke pesisiran pantai timur laut Jepun ke arah Tokyo sebelum beralih menuju ke Lautan Pasifik menjelang pagi ini, lapor Agensi Kaji Cuaca Jepun. Ia dijangka semakin lemah sekitar jam 9 pagi hari ini (waktu tempatan).

Sementara itu, kira-kira 632,500 penduduk di enam wilayah Jepun, termasuk Kumamoto - yang masih terkesan akibat gempa bumi kuat awal tahun ini - dinasihatkan berpindah, lapor agensi berita Jiji.

Jiji melaporkan dua orang cedera ringan di Kyushu, manakala badan penyiar kebangsaan NHK melaporkan lebih 100 penerbangan domestik dibatalkan.

Agensi Kaji Cuaca melaporkan, hujan lebat melanda pesisiran pantai Lautan Pasifik malam tadi dan mengeluarkan amaran banjir, tanah runtuh serta ombak besar. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 9:15 AM