PERTANDINGAN melompat tali terpantas turut diadakan bagi kategori lelaki, wanita dan kanak-kanak.
PERTANDINGAN melompat tali terpantas turut diadakan bagi kategori lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Nor Faizah Mohamed


Malas bersenam? Tiada masa untuk bersenam? Yuran bulanan ke gimnasium membebankan? Kos peralatan senaman yang tinggi? Tiada ruang di rumah untuk melakukan senaman? Semua itu alasan semata-mata!

Pelbagai alasan diberi bagi mengelakkan diri bersenam. Bagi sesetengah individu, bersenam dianggap perkara remeh dan membazir masa kerana tidak mendapat kesan yang diinginkan dalam masa singkat.

Ramai beranggapan melakukan senaman itu hanya untuk mendapatkan bentuk tubuh yang langsing dan menarik.

Hakikatnya, bersenam lebih kepada membantu meningkatkan tahap kesihatan diri terutama bagi yang berisiko mengalami penyakit berangkai seperti jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Selain bersenam untuk membina stamina diri dan membantu tubuh mengekang atau menghindari penyakit, bersenam berupaya meningkatkan motivasi rohani.

Sebenarnya ada cara mudah untuk bersenam tanpa memerlukan ruang besar dan kos yang tinggi.

Berjalan atau joging di sekeliling rumah sekurang-kurangnya 30 minit dan melakukan lompat tali (skipping) sudah memadai bagi mereka yang kesuntukan masa.

Selain membantu kesihatan di tahap optimum, ia dapat mengurangkan risiko penyakit jantung. Seperti apa yang dilakukan Hospital Pantai Ipoh (PHI), Perak, baru-baru ini, aktiviti melompat tali juga boleh dilakukan oleh pelbagai peringkat usia.

Bagi meraikan sambutan Hari Jantung Sedunia, PHI menganjurkan kempen kardiovaskular ‘Skip to Your Heartbeat’ di pekarangan hospitalnya.

Lebih 100 peserta hadir memeriahkan suasana yang menyaksikan pelbagai bangsa, agama dan usia melakukan aktiviti melompat tali dalam tempoh 60 minit.

Senaman mudah dan murah dan itu menyasarkan kepentingan menjalani senaman untuk kecergasan tubuh, di samping memberi kesedaran bahawa bersenam tidak memerlukan peralatan yang rumit serta boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di masa saja.

“Selain meraikan sambutan Hari Jantung Sedunia, aktiviti ‘Skip to Your Heartbeat’ ini juga diadakan sebagai salah satu sambutan ulang tahun ke-20 hospital ini.

“Kempen ini memberi penekanan kepada penjagaan kesihatan kardiovaskular dan menunjukkan bahawa aktiviti masa lapang yang dilakukan ketika zaman kanak-kanak sebenarnya boleh dijadikan sebahagian daripada rejim senaman harian.

“Dengan bantuan pelatih kecergasan, peserta bebas melakukan lompatan sebanyak yang boleh dalam tempoh sejam.

“Kami cuba menunjukkan betapa mudahnya golongan dewasa mencapai tahap kesihatan jantung yang baik iaitu 60 denyutan seminit dengan hanya melakukan senaman mudah seperti melompat tali ini” kata Ketua Pegawai Eksekutif PHI, Chong Siet Fong.

Jelas pakar kardiologi merangkap Ahli Exco Negeri Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon, penyakit kardiovaskular menjadi antara pembunuh utama di Malaysia, dengan satu perempat kematian dicatatkan di kebanyakan hospital seluruh Malaysia.

Berbanding 10 tahun lalu, makin ramai golongan berusia di bawah 50 tahun mengalami serangan jantung dengan purata usia serangan ialah 58.5 - lebih muda berbanding purata global iaitu 66 tahun.

“Salah satu langkah terbaik untuk mengurangkan risiko ini ialah mengikuti diet seimbang dan menjalani gaya hidup sihat.

“Kempen ‘Skip to Your Heartbeat’ ini adalah antara cara sesuai untuk menarik lebih ramai bersenam tanpa kekangan,” katanya.

Peserta tidak ketinggalan berpeluang melakukan pemeriksaan kesihatan percuma antaranya tekanan darah, tahap indeks tubuh, kolesterol dan kaunseling pemakanan.

Selain aktiviti beramai-ramai, turut diadakan pertandingan melompat tali terpantas untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak. Ia menguji kepantasan, keupayaan serta skil melompat peserta dalam tempoh yang ditetapkan dan diadili barisan pelatih kecergasan bersama kakitangan hospital.

Pemenang utama berjaya membawa pulang wang tunai RM1,000 bersama hadiah sampingan.

Pada masa sama, PHI menyerahkan bantuan daripada dana khusus untuk pesakit yang menjalani pembedahan jantung yang merangkumi perlindungan penuh untuk pembedahan dan yuran hospital di bawah Dana Khazanah IHH Healthcare.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 5:02 AM