Kuala Lumpur: Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) memperuntukkan RM1 juta bagi membantu usahawan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) tahun ini menerusi Maybank Trade [&Give] Initiative (Trade [&Give]).

Peruntukan itu adalah mengikut tahun kewangan Maybank semasanya iaitu dijangkakan 20 usahawan AIM akan terbabit dalam program yang memberi dana minimum purata RM20,000 kepada setiap individu berkeupayaan untuk memperluaskan perniagaan mereka.

Pengarah Urusan Ketua Serantau Ekuiti Maybank IB, Ami Moris berkata, Trade [&Give] bukan saja memberi dana tambahan kepada usahawan AIM yang dikenali sebagai sahabat AIM, malah membantu mereka untuk mendapatkan latihan seperti pemasaran, pengurusan kewangan dan meningkatkan keupayaan teknologi.

Beliau berkata, dana mikro berkenaan adalah disumbangkan daripada peratusan yuran broker diterima Maybank IB yang dijana daripada perdagangan pelanggannya.

"Peruntukan RM1 juta itu akan diagihkan mengikut keperluan usahawan yang boleh membantu mereka meningkatkan keupayaan perniagaan kepada tahap lebih tinggi.

"Pemilihan penerima dana itu akan dilaksanakan oleh AIM sendiri bagi mengenal pasti sahabat yang mempunyai prestasi perniagaan," katanya, semalam.

Hadir sama, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias yang turut merasmikan pelancaran itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan dan Pengerusi AIM, Dr Zubir Harun.

Ami berkata, Trade [&Give] bertujuan membantu setiap lapisan masyarakat menerima limpahan ekonomi dan menyediakan akses bukan saja dana malah pengetahuan, idea, teknologi dan pasaran baru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:07 AM