Kuala Lumpur: “Kami semakin menghampiri mereka.” Pemain beregu campuran negara Lai Pei Jing tidak berselindung mengenai kemampuannya berbanding pasangan utama, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Menurut Pei Jing, dia dan Tan Kian Meng sebenarnya semakin menghampiri prestasi Peng Soon-Liu Ying selepas mempamerkan prestasi mantap sepanjang tahun ini termasuk berjaya muncul naib juara Masters Indonesia kelmarin.

“Kami semakin hampir (mengejar Peng Soon-Liu Ying) namun masih ada perbezaan lagi. Ini kerana prestasi mereka berlandaskan 10 pasangan terbaik dunia. Mereka adalah pasangan bertaraf dunia,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Kian Meng-Pei Jing berjaya meraih gelaran naib juara pada Masters Indonesia apabila tumpas kepada pasangan tuan rumah yang juga pilihan kedua kejohanan, Ronald Alexander-Melati Daeva Oktavianti 16-21, 17-21.

Bagaimanapun, Pei Jing mengakui mereka tidak akan sampai ke tahap sekarang jika tidak berusaha keras sepanjang latihan setiap minggu.

“Semua yang kami capai kini adalah kerana usaha keras dalam latihan. Setiap hari kami berlatih gigih dan sentiasa fokus mengenai apa yang akan kami baiki atau hajati.

“Saya selalunya akan sentiasa memperbaiki segala kelemahan ketika dalam latihan,” kata pemain dari Kuantan itu.

Pei Jing tidak dapat menyembunyikan kekecewaan tumpas kelmarin, namun selepas ditenangkan oleh jurulatih, Pang Cheh Chang dia yakin akan kembali bangkit menjelang Terbuka Thailand bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 5:57 AM