Aksi lembu korban mengamuk di Kuala Nerus, hari ini. - Foto Ihsan Pembaca
Aksi lembu korban mengamuk di Kuala Nerus, hari ini. - Foto Ihsan Pembaca
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: Lebih 50 penduduk Taman Desa Jaya di sini, bertempiaran lari apabila seekor lembu yang hendak disembelih untuk program korban Aidiladha naik minyak dan menyerang sekumpulan pemuda yang turut serta dalam proses penyembelihan itu.

Bagaimanapun, tiada kejadian buruk berlaku walaupun lembu jantan seberat 100 kilogram itu beberapa kali menyondol seorang lelaki dalam kejadian pada 10 pagi itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Desa Jaya Ahmad Noordin Kasim berkata, selepas selesai menyembelih lembu pertama, sekumpulan pemuda berusaha merebahkan lembu kedua untuk disembelih namun tali yang mengikat leher lembu berkenan putus.

"Lembu itu kemudian bertindak agresif dan menyerang kumpulan berkenaan sehingga menyebabkan seorang lelaki jatuh selepas disondol beberapa kali.

"Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana lembu itu tidak berterusan menyerangnya," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, kaki lembu itu masih terikat sekali gus membataskan pergerakan haiwan itu daripada bertindak lebih ganas.

Lembu itu berjaya diikat semula 15 minit kemudian sebelum proses penyembelihan diteruskan.

Rakaman selama satu minit mengenai kejadian itu menjadi viral di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 11:28 PM