Kuala Lumpur: Switzerland nyata bukan masalah besar untuk skuad negara yang mudah menang 2-0 pada aksi suku akhir acara berpasukan Kejohanan Skuasy Universiti Dunia (WUSC) semalam sekali gus menempah tiket ke separuh akhir.

Muhammad Addeen Idrakie (gambar, depan) yang turun sebagai perseorangan lelaki, menghadiahkan mata pertama apabila menewaskan Gadola Robin 11-8, 5-11, 11-3, 11-7.

Low Wee Wern yang baru saja memenangi emas individu wanita kelmarin, memberikan mata kemenangan dengan menewaskan Frey Nadine 11-4, 11-5, 11-3 hanya dalam tempoh 18 minit.

Bagi Wee Wern, kemenangan semalam memberi motivasi tambahan kepada skuad negara bagi menghadapi saingan separuh akhir, bertemu Afrika Selatan hari ini.

“Sudah pasti kami akan menurunkan barisan terbaik esok (hari ini) kerana lawan yang ditemui bukan mudah.

“Tapi segala-galanya akan diputuskan pengurus dan jurulatih. Apapun, saya berpuas hati dengan prestasi permainan saya dan akan terus cuba membantu pasukan untuk saingan separuh akhir nanti,” katanya.

Afrika Selatan melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Britain 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 7:47 AM