MESIN sembelihan pertama kali digunakan pada sambutan Aidiladha tahun lalu.
MESIN sembelihan pertama kali digunakan pada sambutan Aidiladha tahun lalu.
HAIWAN sembelihan dimasukkan ke dalam 'tray sembelihan'.
HAIWAN sembelihan dimasukkan ke dalam 'tray sembelihan'.
MEMOTONG tulang haiwan sembelihan lebih mudah dengan adanya mesin ini.
MEMOTONG tulang haiwan sembelihan lebih mudah dengan adanya mesin ini.
PROSES melapah dilakukan dengan mudah dan pantas selepas haiwan sembelihan digantung.
PROSES melapah dilakukan dengan mudah dan pantas selepas haiwan sembelihan digantung.
DAGING yang siap dipotong diagih-agihkan.
DAGING yang siap dipotong diagih-agihkan.
Siti Salmiah A Hamid


Lembu yang diikat pada batang pokok akan ditumbangkan beramai-ramai. Sebaik tumbang ke tanah, keempat-empat kaki haiwan itu akan segera diikat. Beberapa orang akan memegang badan lembu berkenaan bagi mengelak ia meronta-ronta.

Sekurang-kurangnya seorang memegang bahagian depan kepala manakala seorang lagi memegang lehernya. Kemudian barulah tukang sembelih akan menjalankan tugasnya.

Itulah kaedah biasa digunakan umat Islam di Malaysia untuk menyembelih lembu terutama untuk ibadat korban, akikah atau kenduri kahwin.

Kalau seekor dua mungkin tiada masalah tetapi jika melebihi 10 ekor, cara itu tentunya memakan banyak masa dan tenaga.

Justeru, kewujudan Pusat Penyembelihan Haiwan Ternakan di Masjid Puncak Alam, Kuala Selangor, yang hanya memerlukan dua atau tiga orang untuk menyembelih seekor lembu dilihat lebih moden dan penyelesaian terbaik masalah tenaga kerja dan masa terutama ketika ibadat korban.

Pusat penyembelihan yang berkeluasan 462 meter persegi dibina di dalam kawasan masjid serta memiliki ruang terbuka yang berkeluasan 294 meter persegi. Ia menempatkan beberapa mesin penyembelihan moden lengkap, kawasan terbuka untuk proses melapah dan pembungkusan serta ruang dapur yang selesa.

Masjid berkenaan satu-satunya di negara ini mempunyai mesin penyembelihan hidraulik yang direka khas pereka cipta peralatan berteknologi Zulkifli Haron daripada Zull Design Autotronic.

Imam II Masjid Puncak Alam Mohd Hariz Abdullah berkata, kemudahan di pusat penyembelihan itu memberi banyak manfaat kepada umat Islam sekitar Puncak Alam terutama ketika sambutan Hari Raya Korban.

“Set lengkap mesin penyembelihan moden dan kos pembinaan pusat penyembelihan ini bernilai kira-kira RM500,000 dan ditanggung sepenuhnya Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) Tan Sri Rozali Ismail.

“Mesin itu dilengkapi peralatan untuk proses penyembelihan, melapah dan memotong daging membuatkan tugas itu lebih mudah, efektif dan menjimatkan masa.

“Bukan saja kerja penyembelihan menjadi teratur dan lebih cepat, malah aspek kebersihan sangat ditekankan kerana pusat penyembelihan itu dibina di kawasan masjid.

“Justeru, bukan saja ia dapat memastikan kebersihan kawasan masjid terjaga, malah daging yang diproses juga terpelihara daripada kekotoran sekaligus menepati syariat Islam yang mementingkan kebersihan,” katanya.

Mohd Hariz berkata, mesin itu pertama kali digunakan pada sambutan Aidiladha tahun lalu dengan menumbangkan 16 ekor lembu.

Hasilnya, ia mengambil masa cuma tiga jam untuk semua proses sehinggalah daging korban itu siap diagihkan.

Proses penyembelihan secara tradisional memerlukan ramai tenaga kerja untuk menumbangkan seekor lembu dan melakukan tugas melapah. Daging sembelihan pula mungkin terdedah kepada kekotoran kerana kawasan melapah yang bersepah.

Ditanya mengenai kos, jangka hayat dan jaminan tahunan peralatan terbabit, Eksekutif Teknologi Maklumat, Arkib dan Komunikasi Masjid Puncak Alam Mohammad Haiqal Sulaman berkata, tahap membaik pulih peralatan itu bergantung kepada kerosakan dan setakat ini ia masih dijaga dengan begitu baik memandangkan penggunaan mesin ini hanyalah sekali setahun.

“Peralatan dan mesin sembelihan dijaga oleh Ketua Unit Aset dan Kemudahan Masjid bagi memastikan tiada kerosakan yang berlaku sebelum penggunaan peralatan terbabit.

“Jika terdapat kerosakan, borang aduan akan diisi oleh pengadu dan diambil tindakan oleh Juruteknik Kanan Masjid berdasarkan tahap kerosakan seperti kerosakan yang hanya membabitkan masalah luaran dan boleh diselesaikan.

“Sekiranya membabitkan dalaman mesin dan sukar untuk diselesaikan, pihak masjid akan memanggil Zull Design Autotronic untuk membaiki kerosakan. Sebarang bayaran akan dikemukakan sebelum tindakan dan berdasarkan kontrak pembelian mesin,” katanya.

Ujar Hariz, meskipun mesin moden menggantikan kerja manusia, sesuatu yang masih kekal ialah sikap masyarakat setempat yang saling menolong dan bekerjasama meraikan ibadat korban dengan penuh semangat dan kesyukuran.

“Proses sembelihan yang menggunakan mesin hidraulik ini turut menarik perhatian orang ramai untuk melakukan ibadat korban pada masa akan datang kerana tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan daging,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 12:12 PM