AHMAD Maslan (tengah) melihat replika   Hospital Kanak Kanak Permata Universiti Kebangsaan Malaysia selepas majlis menandatangani perjanjian oleh Zecon Medicare Sdn Bhd di Kuala Lumpur, semalam.
AHMAD Maslan (tengah) melihat replika Hospital Kanak Kanak Permata Universiti Kebangsaan Malaysia selepas majlis menandatangani perjanjian oleh Zecon Medicare Sdn Bhd di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengekalkan jangkaan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada kadar lima hingga enam peratus pada 2015 dan belum membuat keputusan untuk mengkaji semula kadar berkenaan walaupun berdepan kejatuhan ringgit.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, pihaknya yakin bahawa ekonomi Malaysia akan kekal stabil pada tahun depan.

“Melalui taklimat yang diterima daripada Bank Negara Malaysia (BNM), pihaknya merumuskan bahawa penyusutan dan pengukuhan ringgit tidak hanya membawa kesan negatif semata-mata,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian oleh Zecon Medicare Sdn Bhd bagi pembinaan Hospital Kanak-Kanak Permata Universiti Kebangsaan Malaysia (HKKP UKM) di sini, semalam.

“Jika dibandingkan dengan mata wang lain, ringgit menunjukkan kestabilan jangka panjang. Ini kerana Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh.

“Kita perlu melihat kesan positif daripada apa yang berlaku kerana ia secara tidak langsung menggalakkan sektor pelancongan selain pertambahan jumlah eksport,” katanya.

Malah, menurutnya, kejatuhan ringgit juga dilihat sebagai insentif untuk pembuat tempatan untuk mengeluarkan lebih banyak produk buatan Malaysia.

Dalam pada itu, menurutnya, kesan harga minyak mentah dunia yang turut memberi kesan kepada pendapatan PETRONAS dilihat bukan sesuatu yang membimbangkan.

“Sekiranya hasil PETRONAS berkurangan, ia akan memberi kesan kepada jumlah dividen yang diterima kerajaan. Namun, harus diingat bahawa kerajaan tidak lagi menanggung subsidi petrol.

“Maka, secara tidak langsung ia tidak akan membebankan kerajaan walaupun menerima jumlah dividen yang berkurangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 5:02 AM