MORATA (kanan) jaring dua gol ketika Sepanyol membelasah Liechtenstein 8-0.
MORATA (kanan) jaring dua gol ketika Sepanyol membelasah Liechtenstein 8-0.

Madrid: Jurulatih baharu Sepanyol, Julien Lopetegui mengharungi permulaan memberangsangkan apabila Diego Costa, David Silva dan Alvaro Morata masing-masing menjaringkan dua gol bagi membantu pasukannya membelasah Liechtenstein 8-0 di Leon, awal pagi semalam.

Costa menjaringkan gol pertama buat Sepanyol sejak 2014 selepas 10 minit tetapi walaupun mendominasi permainan, tuan rumah terpaksa berpuas hati dengan satu gol di sepanjang babak pertama.

Pesta jaringan Sepanyol bermula lima minit selepas babak kedua apabila menjaringkan tiga gol menerusi Sergi Roberto, Vitolo dan David Silva.

Costa menanduk masuk gol peribadi keduanya sebelum dia digantikan Alvaro Morata yang pantas mempamer belang menerusi dua gol dalam 10 minit terakhir.

Silva menambah gol kelapan pada masa kecederaan sebelum penjaring kelima terbanyak Sepanyol sepanjang zaman di belakang Hierro, Raul, Fernando Torres dan David Villa itu menghasilkan gol ke-28 antarabangsanya.

“Kami beroleh faedah besar di babak kedua dan ia hasil kerja keras kami,” kata Lopetegui.

“Saya gembira. Ini tiga mata pertama kami dan adalah bagus untuk bermula dengan baik.”

Kemenangan itu membolehkan Sepanyol mengetuai Kumpulan G kempen kelayakan Piala Dunia 2018, mengatasi Itali dengan kelebihan jaringan selepas Azzurri menang 3-1 di Israel.

Sepanyol dan Itali akan bertemu di Turin pada 6 Oktober.

“Ini tiga mata yang amat penting tapi ia bukan segala-galanya. Ia hanyalah salah satu daripada 10 perlawanan (peringkat kelayakan).

“Kami mengharungi perlawanan ini dengan keinginan besar tapi masih ada sebulan untuk kami harungi.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 7:30 AM