Oleh Siti Zarinah Sahib

Sempena sambutan Bulan Sukarelawan Global, Mondelez Malaysia mengadakan lawatan sosial bagi menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak kurang berkemampuan dan kelainan upaya. Acara tahunan ini dianggap sebagai platform antarabangsa buat kumpulan Mondelez International untuk menyumbang kembali kepada komuniti setempat.

Tradisi kesukarelawan dengan tema Seruan ke Arah Kesejahteraan ini diadakan di 35 negara termasuk Singapura, Hong Kong, Jepun dan Indonesia. Ia tertumpu kepada empat bidang utama iaitu mengambil berat mengenai pemakanan, kelestarian, kemasyarakatan dan keselamatan yang dipercayai boleh memberi impak paling hebat kepada mereka.

Sepanjang Oktober lalu, lebih 90 pekerja Mondelez Malaysia yang beroperasi di Kuala Lumpur, Shah Alam, Prai dan Johor Bahru berganding bahu dengan rakan komuniti setempat, sekali gus membawakan saat keceriaan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik.

Kakitangan Mondelez Malaysia bersatu padu menyokong beberapa hospital dan rumah kanak-kanak antaranya Pertubuhan Kanak-kanak Spastik Selangor & Wilayah Persekutuan, Persatuan Kebajikan Sinar Ceria, Rumah Kanak-kanak Shan di Prai dan Rumah Kanak-kanak Berkat di Johor Bahru menerusi pelbagai aktiviti di dalam dan luar bilik darjah.

Selaras seruan ke arah kesejahteraan, sukalerawan bergotong-royong membina sudut keriangan berwarna-warni untuk digunakan sebagai ruang bacaan dan pembelajaran di Pertubuhan Kanak-kanak Spastik Selangor & Wilayah Persekutuan. Pada masa sama, kakitangan yang lain mengadakan aktiviti menyanyi beramai-ramai bersama kanak-kanak di situ.

Menurut Pengarah Sumber Manusia Mondelez Malaysia Grace Munsayac, nilai murni perlu ada pada setiap individu sebagai menyokong komuniti dan membantu mengerakkannya ke arah kesejahteraan.

"Kami percaya nilai murni dan amalan perniagaan yang baik adalah seiringan. Oleh itu, kami mengalakkan pekerja membawa perubahan dalam masyarakat sama ada di rumah atau pejabat. Kami juga boleh memberikan impak yang besar bersama pekerja, rakan dan komuniti untuk turut mencipta keriangan," katanya.

Pengarah Kehormat Pertubuhan Kanak-kanak Spastik Selangor & Wilayah Persekutuan Datuk Dr M Mohinder Singh menzahirkan rasa terima kasih di atas sumbangan yang diterima.

"Sudut keriangan ini membolehkan kanak-kanak menikmati pengalaman menakjubkan untuk mengaplikasikan kemahiran membaca dan menulis menerusi cara yang lebih kreatif dan praktikal terutama de-ngan hasil seni di sekeliling mereka," katanya.

Di Prai dan Johor Baharu, kakitangan syarikat menghiburkan kanak-kanak di Persatuan Kebajikan Sinar Ceria, Rumah Kanak-kanak Shan dan Rumah Kanak-kanak Berkat. Kanak-kanak ini dihiburkan dengan aktiviti melukis, permainan dan nyanyian beramai-ramai.

Dalam kunjungan ini, sukarelawan turut berkongsi nasihat mengenai nutrien dalam pemakanan snek yang sihat dan menyumbang barang keperluan kepada rumah berkenaan.

Bulan Sukarelawan Global diadakan bersempena hari ulang tahun Mondelez International sejak ia menukar nama daripada Kraft Foods Inc. pada 2012. Sebagai pemilik beberapa jenama yang digemari, Mondelez Malaysia percaya setiap orang mempunyai suara yang mampu menginspirasi dan mencipta perubahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 5:00 AM