GAMBAR yang dirakam kelmarin menunjukkan pasukan penyelamat mencari mangsa Taufan Lionrock di Iwaizumi. - Reuters
GAMBAR yang dirakam kelmarin menunjukkan pasukan penyelamat mencari mangsa Taufan Lionrock di Iwaizumi. - Reuters

Tokyo: Angka kematian akibat Taufan Lionrock yang membadai utara Jepun minggu lalu meningkat kepada 17 apabila dua lagi mayat ditemui semalam dengan beberapa orang masih lagi disenaraikan hilang.

Sementara itu, pegawai berkata, kawasan barat daya negara itu berdepan ancaman satu lagi taufan.

Setakat 4 petang (3 petang waktu Malaysia) taufan Namthuen berada kira-kira 90 kilometer ke barat daya bandar Amakusa di barat Pulau Kyushu, menurut Agensi Meteorologi Jepun.

Taufan baru itu bergerak perlahan ke arah utara dengan angin selaju 126 kilometer sejam dan membawa hujan lebat, kata agensi itu, sambil memberi amaran mengenai ombak besar, tanah runtuh dan banjir.

Namtheun dijangka melanda utara Kyushu awal hari ini.

Taufan Lionrock membadai pantai Pasifik di utara Jepun Selasa lalu dengan membawa hujan lebat di kawasan yang luas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 12:01 PM